MOSCOW: Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Selasa mengkritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana gagal membantu menubuhkan sebuah negara Palestin dan menyalahkan kegagalan itu kepada tekanan dari Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Anadolu (AA).

"PBB telah gagal dalam misinya untuk menyediakan penyelesaian tunggal atau menerima pakai resolusi yang dapat memastikan hak rakyat Palestin untuk memiliki negara sendiri.

"Disebabkan tekanan AS, PBB tidak dapat melaksanakan misinya untuk menyediakan penyelesaian atau menerima pakai resolusi yang akan menjamin hak rakyat Palestin," kata Abbas semasa pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di sini.

Beliau berada di Rusia sebelum mengadakan lawatan ke Turkiye, di mana beliau dijadualkan berucap di parlimen negara itu pada Khamis.

Abbas pada masa sama melahirkan penghargaan atas kerjasama Rusia-Palestin yang telah lama terjalin, dengan mengatakan bahawa negaranya telah mendapat manfaat daripada sokongan Rusia selama beberapa dekad.

Presiden Palestin itu juga merujuk kepada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) PBB bulan lepas yang mengisytiharkan pendudukan Israel ke atas tanah Palestin sebagai "tidak sah" dan menyeru Israel untuk menghentikan tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Mengulas mengenai krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza, beliau berkata: "Lebih 40,000 orang telah terbunuh sejak Oktober, kira-kira 80,000 lagi cedera dan lebih 15,000 hilang. Inilah realiti di Gaza serta keadaan di Baitulmuqaddis dan Tebing Barat."

Beliau berkata rakyat Palestin tetap teguh dalam perjuangan mereka, berdepan pelbagai kesukaran dan bergantung pada sokongan kemanusiaan.

Putin yang mengakui cabaran dihadapi Rusia berkata: "Rusia hari ini mesti mempertahankan kepentingan dan rakyatnya dengan senjata di tangan. Tetapi apa yang berlaku di Timur Tengah terutamanya di Palestin tetap menjadi tumpuan perhatian kami."

"Kami memerhatikan dengan rasa sakit dan kebimbangan terhadap malapetaka kemanusiaan yang berlaku di Palestin," tambahnya.

Putin berkata Rusia telah menyediakan kira-kira 700 tan metrik (772 tan) bantuan kemanusiaan kepada Palestin dan terus menggunakan setiap peluang untuk menyokong rakyat Palestin.

"Kebimbangan utama kami ialah korban awam kerana menurut data terkini, bilangan kematian telah mencecah 40,000 dengan majoritinya wanita dan kanak-kanak," kata Putin.

Putin menegaskan komitmen Rusia terhadap penyelesaian damai dengan menyatakan bahawa punca kepada krisis Israel-Palestin terletak pada kegagalan melaksanakan keputusan untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.

"Kami percaya bahawa keamanan yang berkekalan dan stabil di rantau ini memerlukan pelaksanaan sepenuhnya semua resolusi PBB, khususnya untuk penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat," katanya.

-- BERNAMA