NEW DELHI: Menteri Luar Pakistan memberitahu rakan sejawatannya dari Iran pada Rabu bahawa Islamabad "berhak untuk bertindak balas" terhadap serangan tentera Iran ke atas wilayahnya yang didakwa dijadikan pangkalan sebuah kumpulan bersenjata di Balochistan.

Menteri Luar Jalil Abbas Jilani menerima panggilan telefon daripada Menteri Luar Iran Hossein Amirabdollahian dengan kedua-dua pihak membincangkan insiden itu.

Beliau memberitahu Hossein bahawa keganasan merupakan ancaman kepada rantau itu dan memerlukan usaha bersepadu dan diselaraskan untuk menanganinya.

Menurut beliau tindakan sepihak oleh Iran boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau dengan serius.

Pakistan mengutuk serangan peluru berpandu dan dron pada Selasa itu yang menurut Iran mengenai dua pangkalan "Jaish Al Adl" dengan menyifatkannya sebagai pencabulan kedaulatan yang serius dan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan semangat hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Pakistan berkata insiden itu telah menjejaskan hubungan dua hala antara Pakistan dan Iran dengan Islamabad berhak untuk bertindak balas terhadap tindakan provokatif berkenaan.

"Tiada negara di rantau ini harus melalui laluan berbahaya ini," menurut kenyataan Pakistan.

Sementara itu Kementerian Luar Iran berkata Hossein memberitahu Jalil Abbas bahawa Iran menghormati kedaulatan dan integriti wilayah Pakistan.

Hossein berkata operasi ketenteraan dilancarkan terhadap kumpulan bersenjata Iran dan tiada warga Pakistan diserang.

Susulan kejadian itu Pakistan telah memanggil pulang dutanya dari Iran sebagai protes dan memberitahu duta Iran ke Pakistan yang pulang bercuti di negara asalnya supaya tidak kembali ke Islamabad "buat masa ini".

Menurut Pakistan serangan di daerah Panjgur di wilayah Balochistan membunuh dua kanak-kanak dan mencederakan tiga kanak-kanak perempuan.

-- BERNAMA