Oleh itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan negara-negara anggota OIC mesti memperhebat kerjasama ekonomi dan perdagangan selari dengan Pelan Tindakan OIC 2016-2025.
“Dalam usaha memperkuat kerjasama ekonomi, Malaysia menganjurkan fasa pertama Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam ke-15 pada Mac 2024 dengan tema ‘Memacu Agenda Kemampanan Ekonomi Manusiawi’.
“Fasa ketiga akan diteruskan dengan Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam pada 28 dan 29 Mei 2024 dengan tema ‘Membentuk Ketahanan Ekonomi Islam Global Melalui Reformasi Berasaskan Nilai’,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Kenyataan Negara di Sesi ke-15 Sidang Kemuncak OIC pada Sabtu, di Gambia.
Menurut Mohamad, forum tersebut akan memberikan tumpuan kepada kepentingan ekonomi dan kewangan Islam sebagai solusi kepada pembangunan ekonomi yang berdaya tahan, mampan dan saksama.
Dalam kenyataan yang sama, Menteri Luar itu juga menggesa OIC meneruskan usaha membantu kumpulan Muslim minoriti dan komuniti yang berada di luar negara-negara anggota OIC termasuk etnik Rohingya demi mempertahan maruah, identiti dan kebajikan.
“Malaysia telah memainkan peranan dengan menganjurkan Seminar Antarabangsa OIC-IPHRC (Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia) ke-8: Perspektif Islam Mengenai Perlindungan Pelarian pada Oktober 2022.
“Seminar tersebut telah menghasilkan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Hak dan Akses kepada Pendidikan Untuk Pelarian, sebagai garis panduan kepada negara anggota OIC untuk menyedikan akses pendidikan kepada pelarian di negara masing-masing,” katanya lagi
Perpaduan negara Islam sedunia selesaikan isu sedunia