Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada Isnin mengumumkan bekas senator Nebraska, Chuck Hagel sebagai calon Setiausaha Pertahanan Negara Amerika yang baru.

Dalam satu pengumuman di White House, Obama turut mengumumkan Penasihat Anti Keganasan, John Brennan sebagai calon untuk menerajui Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Pengumuman itu merupakan sebahagian daripada usaha Obama untuk memperkukuh agenda keselamatan negaranya.

Selain Hagel dan Brennan dalam pasukan keselamatannya, beliau pada bulan Disember lalu menamakan Senator John Kerry sebagai calon Setiausaha Negara Amerika.

Kesemua tiga calon yang dinamakan Obama perlu disahkan oleh Senat.

Jika Hagel dicalonkan kerana pengalamannya dalam perang Vietnam, pemilihan Brennan pula kerana pengalamannya di CIA selama 25 tahun.

Beliau disifatkan oleh Obama sebagai seorang tokoh yang cukup disegani dalam dunia perisikan.