DUA wanita nyaris maut apabila tali buaian ekstrem yang dinaiki di atas bukit di Sulak Canyon di Republik Dagestan, Rusia terputus.

Rakaman video kejadian itu yang tular memaparkan mereka menaiki buaian sebelum talinya terputus akibat terhentak pada tiang ayunan di tebing berketinggian 1,920 meter sebelum ia terjatuh ke gaung.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dilaporkan terselamat dan hanya mengalami cedera ringan selain trauma akibat kejadian itu.

Memetik sumber The Indian Express, mangsa terselamat apabila terjatuh atas sebuah pelantar kayu kecil yang dibina untuk mengurangkan impak hentaman jika sebarang kejadian tidak diingini seperti ini berlaku.


Terdahulu, video yang tular itu menunjukkan orang ramai bersorak setiap kali dua wanita itu diayun ke udara sebelum semuanya bertukar kepada jeritan ketakutan.

Susulan kejadian, pihak polis melancarkan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian di kawasan tarikan pelancong itu.

Ini termasuk untuk mengenal pasti sekiranya aktiviti itu mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan buat pengunjung.