MUAN: Polis Korea Selatan telah menyerbu Lapangan Terbang Antarabangsa Muan untuk hari kedua berturut-turut pada Jumaat berhubung nahas pesawat syarikat penerbangan itu yang mengorbankan 179 nyawa, lapor Agensi Berita Yonhap.

Polis Wilayah Jeonnam menjalankan operasi geledah dan rampas di pejabat lapangan terbang di barat daya Korea Selatan awal pagi Jumaat untuk mendapatkan bahan berkaitan nahas pesawat itu.

Pada Khamis, polis turut menghantar kira-kira 30 penyiasat untuk menggeledah pejabat Jeju Air di Seoul dan pejabat Muan di Pejabat Wilayah Penerbangan Busan pada 9 pagi, sebelum operasi itu selesai pada 2 petang dan 7 malam hari yang sama.

Polis sedang mendapatkan bukti berkaitan kesahihan "localiser" lapangan terbang, dinding konkrit yang menempatkan susunan antena berhampiran landasan, serta rekod komunikasi antara menara kawalan dan juruterbang sejurus sebelum nahas berlaku.

Mereka juga sedang berusaha mendapatkan rakaman kamera pengawasan berhampiran landasan, selain rekod berkaitan operasi dan penyelenggaraan pesawat berkenaan.

Waran geledah dikeluarkan atas dakwaan kecuaian profesional yang mengakibatkan kematian, menurut pegawai.

-- BERNAMA