Alang-alang hendak menarik perhatian ramai melalui kostum, Thailand benar-benar membuat kelainan kali ini dengan menyarungkan kostum berinspirasikan tuk-tuk kepada wakilnya dalam pertandingan Ratu Cantik Universe 2015.

Daripada 356 pencalonan rekaan kostum untuk diperagakan wakil Thailand ke pentas pertandingan tersebut, akhirnya rekaan Hirankrit Pattaraboriboonkul yang berinspirasikan kenderaan ikonik itu menjadi pilihan untuk direalisasikan, lapor Bangkok Post.

Pattaraboriboonkul yang bekerja di Kementerian Kebudayaan negara itu berkata, beliau mereka kostum tersebut menggunakan teknologi 3D kerana yakin penganjur pertandingan berkenaan mahu mencari kelainan di atas pentas kali ini.

Thailand
Kostum Miss Universe Thailand berinspirasi tuk-tuk yang bakal diperagakan kepada umum tidak lama lagi. - Foto Facebook Miss Universe Thailand 2015 Fan Page

Selepas beberapa kali para pereka fesyen Thailand cuba menguji kreativiti dengan memberi nafas baru kepada pakaian tradisional chong kraben atau pha nung, kini rekaan inspirasi tuk-tuk itu dipilih kerana ia mewakili kesegaran dimensi moden generasi dan negara berkenaan.

“Tuk-tuk merupakan suatu objek yang dekat di hati rakyat tempatan dan pelancong asing mengenalinya. Namun, pereka kostum perlu menerapkan aspek Thailand seperti seni tradisi dalam coraknya,” kata salah seorang juri pemilihan Panya Vijinthanasarn.

Nampaknya, Ratu Cantik Thailand ke pentas Miss Universe 2015 Aniporn Chalermburanawong sedia untuk memberi kejutan kepada khalayak pertandingan dengan kostum itu.

Agak-agaknya, bagaimana pula rekaan yang bakal diperagakan wakil ratu cantik Malaysia, Vanessa Tevi Kumares, di pertandingan itu nanti?
Thailand
Ini adalah antara beberapa pencalonan rekaan kostum pada peringkat pemilihan awal. - - Foto Facebook Miss Universe Thailand 2015 Fan Page