Kementerian Kesihatan Mexico pada Sabtu memaklumkan sebanyak 7,615 kes baharu direkodkan di negara itu dalam tempoh 24 jam, sekali gus menjadikannya angka tertinggi kes harian setakat ini.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara itu sebanyak 338,913 kes.

Kementerian itu turut memaklumkan sebanyak 578 lagi kematian berkaitan COVID-19 direkodkan, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 38,888.

Ketua Pengarah Epidemiologi Kementerian Kesihatan, Jose Luis Alomia, menegaskan bahawa negara itu tidak akan melonggar sekatan.

Pihaknya menjangkakan negara itu akan berdepan tempoh pandemik yang panjang.

Justeru, beliau menyeru agar rakyat di negara itu mengubah amalan peribadi dan melindungi diri daripada sebarang risiko jangkitan.