Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Josep Borrell Fontelles berkata, situasi ini boleh membawa kepada pengasingan negara-negara tertentu dari pentas global, seterusnya menghambat pelaksanaan agenda antarabangsa.
“Mengapa kita hilang percaya? Ini kerana kita sedar bahawa kebergantungan (kepada negara asing) telah menjadi senjata… apabila saya percaya dan bergantung kepada seseorang, kemudian saya sedar kebergantungan itu digunakan sebagai senjata terhadap saya, maka saya mengurangkan kebergantungan itu.
“Seterusnya boleh menyebabkan dunia bergerak ke arah pengasingan antara satu sama lain. Ini buruk untuk manusia kerana dunia ketika ini sangat memerlukan kepada kerjasama untuk hadapi cabaran perubahan iklim, demokrasi dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum ‘North to South, East to West: Rebuilding Trust’ dalam Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF), di sini, pada Ahad.
Mesyuarat Khas WEF: Dunia saling tidak percaya akibat kebergantungan dipersenjatakan - Naib Presiden Suruhanjaya Eropah
Tambah Borell, dunia ketika ini tidak lagi menyaksikan perang senjata, sebaliknya perang naratif.
Dalam perang yang sedang berlangsung di dunia ketika ini berkait rapat dengan unsur geografi, meskipun ada pihak yang berhujah galobalisasi telah mengurangkan nilai sempadan negara.
Beliau merujuk kepada perang Ukraine-Rusia dan Israel-Palestin yang berpunca daripada pertikaian tanah.
Solusinya, menurut Borell, adalah kongsi tanah secara bersama.
Naib Presiden Suruhanjaya Eropah itu juga menjelaskan, dalam konflik yang sedang berlaku ini, semakin banyak negara yang memilih untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak demi kepentingan sendiri untuk jangka masa panjang dan tidak mahu terpalit dengan isu antarabangsa yang tidak memberi manfaat langsung kepada kepentingan domestik.
Justeru, Borell menyarankan negara-negara perlu kembali menghormati peraturan antarabangsa sedia ada dan meminda sebarang peraturan yang tidak lagi mampu menangani isu-isu semasa.
“Kami (Kesatuan Eropah) mungkin tidak boleh memimpin melalui teladan, memandangkan kita tidak sempurna.
“Tetapi sekurang-kurangnya kami (Kesatuan Eropah) tidak pernah menggunakan veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) sejak bertahun-tahun atau menghalang sebagai inisiatif mengenai perang di Gaza,” jelasnya lagi.
Mesyuarat Khas WEF bermula semalam dan berakhir hari ini di ibu negara Arab Saudi dengan tumpuan kepada kolaborasi, pertumbuhan dan pembangunan tenaga global.
Sidang khas itu turut disertai delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.