RIYADH: Dunia memerlukan persaingan sihat dalam transisi daripada Orde Dunia Lama kepada Orde Baharu, kata Putera Faisal bin Farhan Al Saud.

Menurut Menteri Luar Negeri Arab Saudi itu, persaingan berkenaan akan memberi manfaat dalam bentuk kos pengeluaran lebih rendah, perkembangan inovasi dan pelaburan lebih baik.

“Di rantau ini, khususnya Arab Saudi, beri tumpuan kepada persaingan, bukan konflik dalam usaha pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Persaingan yang sihat akan menghasilkan manfaat kepada semua pihak dalam bentuk kos lebih rendah, perkembangan inovasi dan pelaburan lebih baik.

“Ini perkara yang perlu kita beri tumpuan agar transisi (dari Orde Lama kepada Orde Baharu) membenihkan persaingan dan dalam menghadapi cabaran dunia membenihkan kerjasama sama ada dalam perubahan iklim dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum ‘North to South, East to West: Rebuilding Trust’ dalam Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF), di sini, pada Ahad.


Mesyuarat Khas WEF: Dunia perlukan persaingan sihat dalam transisi ke Orde Baharu - Menteri Luar Arab Saudi

Menyentuh situasi di Gaza, Putera Faisal menyifatkan senario yang dihadapi oleh Palestin sebagai malapetaka besar yang mendedahkan kegagalan ekosistem politik semasa dan badan antarabangsa untuk menangani isu tersebut.

Beliau menegaskan, adalah menjadi kemestian kepada pengaruh besar dunia untuk melaksanakan solusi yang kekal demi kesejahteraan rakyat Palestin dan global secara umum.

“Dalam konteks Gaza ialah komitmen tulen kepada solusi dua negara. Pembentukan negara Palestin yang sah dan kekal. Ini sahaja solusi yang munasabah untuk pastikan kita tidak akan kembali ke situasi sama tahun-tahun akan datang.

“Hal ini tidak boleh diserahkan kepada pihak bertelagah. Komuniti antarabangsa, khususnya negara yang mempunyai pengaruh paling besar dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) perlu campur tangan,” ujar beliau lagi.

Mesyuarat Khas WEF bermula semalam dan berakhir hari ini di ibu negara Arab Saudi dengan tumpuan kepada kolaborasi, pertumbuhan dan pembangunan tenaga global.

Sidang khas itu turut disertai delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.