ROME: Selain peluang yang ditawarkan, risiko besar yang dibawa oleh Kecerdasan Buatan (AI) terhadap sektor budaya diketengahkan dalam mesyuarat kebudayaan Kumpulan Tujuh (G7) yang berakhir pada Sabtu di Naples, Itali, lapor Xinhua.

AI kini "semakin meresapi rantaian nilai dalam sektor budaya dan kreatif, dengan impak ke atas persekitaran kerja serta mata pencarian profesional budaya, serta kelestarian ekosistem budaya yang dinamik dan penting," menurut deklarasi yang dikeluarkan oleh menteri-menteri budaya negara G7 semasa perbincangan tiga hari itu.

Para pemimpin bersetuju untuk bekerjasama menangani implikasi etika, undang-undang, ekonomi, dan sosial berkaitan Generative AI serta alat yang dikuasakan AI untuk industri budaya dan kreatif.

Para pemimpin juga menyeru supaya dilakukan "pengenalpastian dan pengesahan, di mana boleh dilaksanakan secara teknikal, kandungan budaya sepenuhnya atau sebahagiannya dijana, diubah suai atau diubah oleh sistem AI."

Fokus terhadap cabaran yang berkaitan dengan kecerdasan buatan menjadi antara bidang tumpuan utama semasa Itali memegang jawatan presiden G7 pada 2024.

-- BERNAMA