Tiga kanak-kanak berusia 9 tahun serta tiga kakitangan sekolah terbunuh apabila seorang bekas pelajar melepaskan tembakan dalam kejadian di sebuah sekolah swasta itu.
Ibu kepada tiga orang anak berkenaan berkata, anaknya menghadiri sekolah bersebelahan dengan Covenant School, di mana tragedi itu berlaku.
"Kami berpindah ke sini dari Connecticut dan ini kali kedua kami menghadapi insiden tembakan di sekolah.
"Nasib baik kami semua selamat," katanya dalam video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.
Jelasnya, dia dan suaminya Mark Wilkerson membantu kanak-kanak kecil melarikan diri ketika insiden itu.
"Saya dan suami saya dalam perjalanan ke sekolah anak kami bagi menghadiri mesyuarat. Nasib baik anak-anak kami tidak hadiri sesi persekolahan pada hari itu.
"Kami membantu kanak-kanak kecil ini serta guru mereka melintas lebuh raya dalam usaha melarikan diri dari sekolah," katanya.
Pihak berkuasa Nashville mengesahkan suspek dikenal pasti sebagai Audrey Hale, 28, yang merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan.
Suspek memasuki kawasan sekolah selepas menembak sebuah pintu kaca sebelum menembak mati tiga pelajar serta tiga kakitangan sekolah.
Suspek kemudian ditembak mati di tingkat 2 sekolah berkenaan oleh pihak polis.