Menurut kenyataan itu, masa untuk kutukan kosong telah berlalu.
Kementerian berkata serangan besar-besaran oleh pasukan keselamatan rejim Zionis Israel ke atas bandar Jenin, Tulkarem, Tubas dan Nablus di Tebing Barat sejak 48 jam lepas, jelas melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Operasi oleh rejim itu di Tebing Barat mengakibatkan kemusnahan dan kematian lebih 600 rakyat Palestin sejak Oktober 2023. Sehingga kini, rejim Israel masih meneruskan serangan ketenteraan di Tebing Barat, serta pembersihan etnik dan genosid di Gaza, iaitu lebih 40,000 rakyat Palestin terkorban.
"Malaysia dengan tegas mengutuk pencerobohan dan kekejaman berterusan oleh rejim Zionis Israel di seluruh Wilayah Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
"Sehubungan itu, Malaysia menganggap keputusan Amerika Syarikat untuk mengenakan sekatan terhadap kumpulan peneroka haram Israel adalah selaras dengan beberapa resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen Geneva keempat, dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2024," menurut kenyataan itu.
Malaysia akan terus berpegang teguh dengan komitmen terhadap perjuangan Palestin dan meneruskan usaha ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara yang berfikiran sama untuk kemasukan Negara Palestin ke PBB sebagai anggota penuh.
-- BERNAMA