Walaupun laman Facebook telah disekat di China, tetapi pengasasnya Mark Zuckerberg bertekad untuk memenangi hati dan minda rakyat China dengan mengadakan sesi soal jawab dalam bahasa Mandarin.

Perkara tersebut telah mengejutkan dewan di Beijing yang dipenuhi dengan penonton yang terdiri dari para pelajar China dan antarabangsa.

Zuckerberg cuba memikat hati tetamu apabila memulakan sesi soal jawab selama setengah jam di Universiti Tsinghua dengan berkata "Hello, semua orang" dalam loghat Mandarin yang pekat.

Zuckerberg menerima tepukan gemuruh dari penonton dan video sesi jawab itu telah dikongsi ramai sejak Khamis.

Sumber Youtube Le Misera


Dalam sesi jawab berkenaan, Zuckerberg membincangkan topik termasuk falsafah beliau dalam mengasas syarikat dan pandangannya terhadap inovasi China, serta hal-hal peribadi seperti warna kegemarannya, makanan cina yang digemarinya dan keluarga Cina-Amerika isterinya, Priscilla Chan.

"Saya ingin belajar budaya Cina, mempelajari bahasa membantu saya mengkaji budaya. Jadi, saya cuba untuk belajar bahasa” katanya.

Facebook tidak boleh diakses di tanah besar China sejak tahun 2009 begitu juga dengan beberapa laman sosial lain termasuk Twitter, YouTube dan Instagram yang telah disenarai hitam oleh Parti Komunis yang memerintah yang menyekat ketat kebebasan bersuara.

Walaupun telah disekat namun kebanyakan agensi berita di China masih mengekalkan akaun media sosial mereka.

Wakil rasmi Facebook kerap ke Beijing untuk berucap di persidangan dan melakukan pertemukan dnegan pemimpin perniagaan di sana.

Facebook sendiri mempunyai syarikat yang beroperasi di Hong Kong di mana Facebook tidak disekat di situ.

Dilaporkan Facebook telah membuka pejabat di Beijing dalam usaha untuk meningkatkan perniagaan menjual iklan online kepada syarikat-syarikat di sana dan kerajaan tempatan yang mahu mempromosikan diri ke luar negara.

Ditanya mengenai rancangan Facebook di negara ini, Zuckerberg yang telah empat kali melawat China berkata "Kami sudah di China."

"Kami membantu syarikat-syarikat China meningkatkan pelanggan mereka di luar negara, mereka menggunakan pengiklanan Facebook untuk mencari lebih banyak pelanggan serta kami ingin membantu tempat-tempat yang berlainan di dunia berhubung dengan China” katanya

Ketika video tersebut disiarkan di laman Facebooknya, reaksi pelbagai diterima dari pengguna internet China di atas kemampuan linguistik Zuckerberg.

"Loghatnya yang cukup kuat, tetapi masih lebih baik daripada orang Cina berbahasa Inggeris," kata satu komen.

Ketika ditanya moderator mengenai rahsia kejayaan Facebook, Zuckerberg menjawab "Perkara yang paling penting adalah anda tidak boleh berputus asa"

"Jika anda tidak percaya dalam misi anda, anda akan sangat mudah untuk berputus asa. Kebanyakan pengasas berputus asa, tetapi orang-orang yang terbaik tidak” katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa syarikat yang terbaik tidak dibina semata hanya ingin menubuhkan syarikat, tetapi kerana pengasas ingin mengubah dunia.

Zuckerberg memuji beberapa syarikat teknologi China termasuk pasaran Alibaba Taobao dalam talian, aplikasi mudah alih Tencent, WeChat dan QQ serta pembuat telefon mudah alih Xiaomi.

"Saya fikir Xiaomi akan berkembang dengan cepat" kata beliau sambil menambah bahawa China mempunyai banyak syarikat yang paling inovatif di dunia.

Semasa sesi soal jawab, Zuckerberg yang juga buta warna merah dan hijau berkata warna kegemarannya adalah biru seperti warna laman web Facebook.

Beliau juga turut berkongsi mengenai perbualan lucu dengan isterinya tentang kemampuannya berbahasa China.

"Pada suatu hari, saya bertanya kepadanya ‘Mengapa keupayaan mendengar bahasa Mandarin saya begitu teruk’.

"Dia menjawab ‘Awak juga bukan pendengar yang baik dalam bahasa Inggeris’”ceritanya kepada penonton yang hadir.