AMSTERDAM: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague bersedia untuk mendengar kes yang difailkan oleh Ukraine terhadap pencerobohan Rusia di timur Ukraine, dalam prosiding undang-undang yang akan bermula pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ukraine memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Rusia pada 2017 selepas Moscow menyokong pemberontak pro-Rusia di wilayah Donbass dan menindas penduduk bukan Rusia di Crimea.

Kes mahkamah kini bermula berlatar belakang pencerobohan besar-besaran Moscow ke atas Ukraine 16 bulan lalu.

Kyiv menuduh Rusia menyokong pemisah di Donbass dengan senjata dan wang sekali gus melanggar Konvensyen Antarabangsa bagi Penindasan Pembiayaan Keganasan yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Moscow menafikan dakwaan itu.

Ukraine dijangka memberi keterangan pertama pada Selasa manakala giliran wakil perundangan Rusia pada Khamis.

Bagaimanapun, masih tidak diketahui bila keputusan kes akan dicapai.

Keputusan ICJ adalah muktamad.

-- BERNAMA