Sebuah kereta mengekori konvoi kenderaan yang membawa anak perempuan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menyebabkan kawasan White House ditutup sementara pada Selasa.

Pasukan Perkhidmatan Rahsia yang bertanggungjawab menjaga keselamatan presiden memaklumkan kereta itu mengekori konvoi kenderaan rasmi itu melepas sekatan keselamatan kira-kira 200 meter dari White House.

Pemandu yang berusia 55 tahun ditahan dan didakwa atas tuduhan menceroboh, kata jurucakap Perkhidmatan Rahsia, Edwin Donovan.

Kereta itu dihentikan oleh pegawai keselamatan dan kemudiannya diperiksa, tambah beliau.

White House enggan mengeluarkan sebarang kenyataan tetapi seorang pegawai penguatkuasa undang-undang memberitahu agensi berita AFP konvoi rasmi itu membawa Malia dan Sasha pulang dari sekolah.

Wartawan yang bertugas di White House tidak dibenar meninggalkan bangunan selama sejam sehinggalah perintah penutupan itu ditarik balik.