NAIROBI: Dickson Ndiema Mengich, lelaki yang dituduh membakar pelari maraton Uganda Rebecca Cheptegei, yang menyebabkan kematiannya, telah meninggal dunia di sebuah hospital Kenya, lapor Xinhua.

Seorang pegawai di Hospital Pengajaran dan Rujukan Moi di Eldoret, barat Kenya, mengesahkan bahawa Ndiema, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 30 peratus melecur, meninggal dunia akibat kecederaannya pada petang Isnin.

"Ya, memang benar kami kehilangannya petang tadi. Kami sedang menunggu keluarga untuk memberikan laporan yang lebih lengkap," kata pegawai itu kepada Xinhua pada pagi Selasa.

Ndiema dituduh menyerang Cheptegei di rumahnya di Trans Nzoia County pada 1 Sept, dilaporkan berhubung pertikaian tanah yang belum selesai.

Pelari maraton itu baru pulang ke rumah dari gereja bersama dua anaknya apabila penyerang, yang bersembunyi berdekatan, menyiramnya dengan petrol dan membakarnya.

Usaha anak-anak dan adik perempuannya untuk memadamkan api dan menyelamatkan Cheptegei dihalang oleh penyerang, yang terus menuangkan petrol ke atas atlet itu.

Semasa serangan itu, Ndiema, yang dikatakan bekas kekasih Cheptegei, juga mengalami kesan melecur apabila dia menyalakan mancis untuk menyalakan lebih banyak api. Dia mengalami 30 peratus melecur.

Kedua-duanya dikejarkan ke hospital di Eldoret untuk rawatan, yang Cheptegei meninggal dunia akibat kecederaannya pada 4 Sept, selepas mengalami 80 peratus melecur.

Cheptegei, yang menduduki tempat ke-44 dalam maraton wanita di Sukan Olimpik Paris 2024, akan dikebumikan dengan penghormatan penuh ketenteraan di Uganda pada Sabtu.

-- BERNAMA