Lapangan Terbang Orlando di Florida, Amerika Syarikat pada Selasa gempar seketika apabila terpaksa meningkatkan kawalan keselamatan di lapangan terbang itu susulan tindakan seorang lelaki bersenjata yang mencetuskan drama kepungan di antara dirinya dan pihak keselamatan.

Lelaki terbabit bagaimanapun akhirnya menyerah diri setelah berjaya dipujuk pihak polis.

Ketua Polis Orlando, John Mina dalam satu sidang media selepas itu memaklumkan tiada sebarang tembakan atau kecederaan dilaporkan.

Pihaknya turut mengenalpasti lelaki terbabit sebagai Michael Wayne Pettigrew, 26.

Dia dikatakan mengalami masalah mental dan pernah berkhidmat bersama angkata tentera marin Amerika Syarikat.

Sewaktu dikepung, Pettigrew turut mencabar pihak polis menembak dirinya.

Polis kemudiannya mendapati objek yang dipegang oleh Pettigrew bukanlah senjata api.

Susulan itu juga operasi di lapangan itu diteruskan seperti biasa.

Sebelum itu kenyataan awal menerusi twitter lapangan terbang terbabit memaklumkan berlaku situasi kepungan membabitkan seorang lelaki bersenjata, di Paras 1, Bahagian A terminal, kawasan kereta sewa dan polis sedang berada di lokasi.



Lapangan Terbang Orlando memberikan perkhidmatan kepada 42.6 juta penumpang setahun dan mengendalikan 35 syarikat penerbangan.