Sekurang-kurangnya 27 dikhuatiri tertimbus dalam insiden tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di Jawa Timur, Indonesia hari ini.

Menurut jurucakap agensi bencana negara itu, Sutopo Purno Nugroho, kejadian 7.40 pagi waktu tempatan itu berlaku di perkampungan Banaran dalam wilayah Pnorogo dan turut memusnahkan 30 kediaman penduduk.

Anggota penyelamat dari pasukan agensi bencana kini dibantu oleh anggota polis, tentera dan sukarelawan untuk mencari mangsa dan memindahkan penduduk yang terjejas.

Menurut laporan Detik News, seorang daripada 27 yang tertimbus disahkan telah meninggal dunia.

Kerja-kerja mencari dan menyelamat secara manual bagaimanapun dihentikan sejak 5 petang tadi (waktu tempatan) bagi menunggu bantuan jentera berat untuk membersihkan runtuhan tanah tersebut.

Indonesia sememangnya sering mengalami kejadian tanah runtuh.

Dalam kejadian di Pulau Bali pada Februari lalu 12 terbunuh.