NEW YORK: Konflik lapan tahun di Yaman mengorban atau mencederakan lebih 11,000 kanak-kanak, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF).

Purata empat kanak-kanak terbunuh atau cedera sejak permulaan perang di Yaman pada 2015, Anadolu Agency memetik UNICEF sebagai berkata dalam satu kenyataan pada Isnin.

Walaupun gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berjaya mengendurkan konflik dengan ketara, 62 lagi kanak-kanak terbunuh atau cedera selepas gencatan senjata di seluruh negara tamat pada 2 Okt, katanya.

Pihak yang berperang di Yaman gagal mencapai persetujuan untuk melanjutkan gencatan senjata yang diusahakan PBB.

Pengarah Eksekutif UNICEF Catherine Russell menggesa gencatan senjata diperbaharui susulan kunjungannya ke negara yang dilanda perang itu minggu lepas.

"Beribu-ribu kanak-kanak kehilangan nyawa, ratusan ribu lagi kekal berisiko mati akibat penyakit yang boleh dicegah atau kelaparan," kata Russell.

Dianggarkan 2.2 juta kanak-kanak di Yaman mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, termasuk hampir 540,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami kekurangan zat makanan yang teruk dan bergelut untuk terus hidup, menurut UNICEF.

Dua juta kanak-kanak tidak bersekolah dan jumlah itu boleh meningkat kepada 6 juta kanak-kanak yang terjejas pendidikan susulan sekurang-kurangnya satu daripada empat sekolah di Yaman musnah atau sebahagiannya rosak.

"Sekiranya kanak-kanak Yaman mahukan peluang untuk masa depan yang baik, pihak yang terlibat dalam konflik, masyarakat antarabangsa dan semua yang mempunyai pengaruh, mesti memastikan mereka dilindungi dan dibantu," kata Russell.

UNICEF juga meminta AS$484.4 juta untuk menangani krisis kemanusiaan di Yaman pada 2023.

Konflik selama lapan tahun itu mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan yang paling teruk di dunia, dengan berjuta-juta orang berisiko berhadapan kebuluran.

Perang saudara bermula pada September 2014 apabila pemberontak Houthi menawan sebahagian besar negara, termasuk ibu negara, Sana'a. Gabungan tentera yang diketuai oleh Arab Saudi terlibat dalam peperangan itu pada awal 2015 bagi mengembalikan kerajaan yang memerintah.

-- BERNAMA