MOSCOW: Jepun kini memantau teliti perkembangan di Korea Utara termasuk lawatan delegasi kerajaan Rusia ke Pyongyang, lapor Sputnik memetik kenyataan Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Hirokazu Matsuno pada Rabu.

"Jepun memantau dengan teliti keadaan di Korea Utara termasuk lawatan delegasi Rusia ke Pyongyang dan menjalankan pengumpulan maklumat dan analisis.

"Mengenai hubungan Rusia dan Korea Utara, kerajaan tidak mahu mengulas," kata Matsuno.

Menurut beliau, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan bersama menteri luar Jepun-AS-Korea Selatan dan menteri luar G7, Tokyo dengan tegas mengutuk dakwaan penghantaran senjata dari Korea Utara ke Rusia, memandangkan risiko kemerosotan situasi di Ukraine dan pencabulan resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Delegasi Rusia yang diketuai oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Alexander Kozlov tiba di ibu negara Korea Utara pada Selasa untuk mesyuarat jawatankuasa antara kerajaan bagi kerjasama perdagangan, ekonomi, sains dan teknologi, lapor agensi berita Korea Utara KCNA awal hari ini.

Pada pertengahan September, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un melakukan lawatan lima hari ke Rusia yang merupakan lawatan pertamanya sejak 2019.

Beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di pelabuhan angkasa Vostochny di Timur Jauh Rusia, bertemu Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu dan memeriksa pesawat tentera Rusia.

Kremlin berkata tiada perjanjian ditandatangani hasil daripada rundingan itu.

--BERNAMA-SPUTNIK