KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) mengesahkan sokongannya terhadap sekutu perjanjiannya Filipina berikutan gangguan oleh Pengawal Pantai China di Laut China Selatan baru-baru ini, kata Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Daniel J. Kritenbrink hari ini.

Beliau berkata cara terbaik untuk mencegah kejadian seperti itu pada masa hadapan adalah dengan PRC membuat komitmen menegakkan ketenteraman antarabangsa berasaskan peraturan dan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan serta mematuhi keputusan Tribunal Timbang Tara 2016, yang mengikat kedua-dua pihak.

"Kami sekali lagi mengesa Beijing menghentikan provokatif dan tindakan tidak selamat. Amerika Syarikat akan terus menjejak dan memantau rapat interaksi itu dan yang penting, kami akan terus berdiri bersama sekutu Filipina kami. Kami akan terus beroperasi bersama-sama.

"Kami gembira dapat membantu pemodenan berterusan angkatan tentera Filipina, termasuk dalam domain maritim," katanya dalam telesidang dari Amerika Syarikat hari ini.

AS sebelum ini menggesa China berhenti mengganggu kapal Filipina di Laut China Selatan dan berjanji untuk menyokong Filipina menangani ketegangan geopolitik.

Pada Jumaat Filipina mendakwa Pengawal Pantai China melakukan "taktik agresif" dalam insiden yang melibatkan kapal peronda Pengawal Pantai Filipina berhampiran Second Thomas Shoal yang dikuasai Filipina, lokasi berlakunya perbalahan yang terletak 105 batu nautika (195km) dari pantai.

Pada hari yang sama Kementerian Luar China mendakwa kapal Filipina menceroboh perairan China dan sengaja membuat tindakan provokatif.

Dalam perkembangan lain, Kritenbrink berkata AS dan rakan kongsinya mengiktiraf mengenai pentingnya mengekalkan keamanan merentasi Selat Taiwan.

Pada 30 April, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr berlepas ke Washington D.C. untuk lawatan rasmi empat hari ke AS, bertujuan untuk menghantar mesej kepada China bahawa pemimpin Filipina itu merancang untuk mengeratkan hubungannya dengan AS.

Kunjung itu dibuat beberapa hari selepas tentera AS dan Filipina mengadakan latihan bersama bagi mengekang pengaruh China di Laut China Selatan dan mengukuhkan keupayaan AS untuk mempertahan Taiwan sekiranya berlaku pencerobohan oleh China.

-- BERNAMA