Matlamatnya adalah untuk lebih memahami kesan pengasingan diri dan kekurangan cahaya pada waktu siang.
Kumpulan yang terdiri daripada 15 lelaki dan wanita itu memasuki Gua Lombrives, kira-kira 60 kilometer dari sempadan Sepanyol pada 14 Mac lalu.
Kumpulan itu menetapkan selama 40 hari tinggal dalam kegelapan tanpa sebarang kemudahan.
Malah mereka juga tidak berhubung dengan dunia luar.
"Kami benar-benar ingin mempunyai gambaran besar tentang bagaimana mereka hidup, bagaimana mereka dapat menyelaraskan kehidupan dan bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan keadaan seperti ini.
"Ini juga adalah kumpulan yang bercampur antara lelaki dan wanita, yang mana amat penting untuk penyelidikan," ujar Jérémy Roumian, penyelidik Deep Time Expedition.
Kumpulan penyelidik itu berharap pengalaman mereka akan membantu misi angkasa yang akan datang dan pekerja lain yang tinggal dalam keadaan terasing, seperti kapal selam dan pekerja di pelantar minyak.
Gua itu dipilih sebagai lokasi percubaan dan bukannya unit pengasingan buatan manusia untuk menyediakan persekitaran semula jadi untuk merangsang maklum balas deria pasukan dan mengkaji irama biologi.
Projek tersebut menelan kos 1.2 juta euro, dengan sebahagian besarnya dari Human Adaptation Institute selain dana dari perkongsian swasta dan awam.
Mereka merancang untuk keluar dari gua pada 23 atau 24 April.