Pihak berkuasa Cuba mengesahkan telah menemui salah satu kotak hitam pesawat Boeing 737 yang terhempas pada Jumaat lalu di pingir bandar Havana.

Perkara itu diumumkan Menteri Pengangkutan Cuba, Adel Yzquierdo pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Marti.

“Sebuah kotak hitam yang dalam keadaan baik ada pada kami.

“Kami akan meneruskan pencarian sebuah lagi kotak hitam. Ia sukar namun kami akan teruskan usaha pencarian. Kita akan ketahuinya dalam beberapa jam lagi” jelas Yzquierdo.

Pesawat malang itu terhempas beberapa minit sejurus berlepas dari lapangan terbang berkenaan pada Jumaat.

Nahas meragut 110 nyawa penumpang dan kru penerbangan sementara tiga mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Mangsa yang maut terdiri daripada 99 warga Cuba, dua pelancong Argentina, seorang pelancong Mexico, dua penduduk Afrika Utara dan enam kru penerbangan warga Mexico.

Lima daripada mangsa yang terkorban adalah kanak-kanak.

Yzquierdo turut mengesahkan sekumpulan pakar dari Syarikat Boeing akan tiba di Havana bagi membantu siasatan.

Beliau turut memberi jaminan, pihak pegawai penerbangan Cuba akan memberi kerjasama sepenuhnyadalam membantu siasatan bagi mengenal pasti punca nahas.

Pesawat berkenaan disewa khas daripada sebuah syarikat Mexico sejak beberapa bulan lalu.

Ia masih dalam fasa percubaan sebelum kontrak jangka panjang ditandatangani bagi membolehkan ia digunakan syarikat pengangkut kebangsaan Cubana de Aviacon.

Baca: Lebih 100 terkorban dalam nahas pesawat di Cuba

Baca: Tiada rakyat Malaysia dalam nahas pesawat di Cuba