Kementerian Luar China mendakwa Amerika Syarikat hanya mewujudkan dan menyebarkan rasa takut berbanding menghulurkan bantuan berikutan penularan wabak koronavirus di negara itu.

Jurucakap kementerian, Hua Chunying berkata Amerika adalah negara pertama yang mencadangkan untuk menarik balik sebahagian kakitangan kedutaan mereka di China, selain mengenakan larangan ke atas pelancong dari tanah besar.

Jelas beliau, apa yang dilakukan itu hanya dapat menyebarkan ketakutan dalam kalangan masyarakat dan ia contoh yang tidak baik.

Justeru, Hua menambah China berharap agar negara-negara lain boleh membuat pertimbangan dan penilaian yang munabasah serta tenang berasaskan sains.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Koronavirus ragut lebih 300 nyawa

Pada 28 Januari lalu, Amerika memindahkan rakyatnya dari bandar Wuhan, yang merupakan bandar yang dipercayai wabak itu mula merebak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengumumkan penularan wabak koronavirus sebagai darurat kesihatan awam global.

Setakat jam 5 petang Isnin, China merekodkan sebanyak 17,330 kes positif wabak koronavirus dengan 361 kematian.