SEOUL: Berpuluh-puluh tentera Korea Utara melintasi garisan sempadan dengan Korea Selatan dalam kejadian kedua seumpama itu dalam tempoh kurang dua minggu, menurut Seoul pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam kejadian itu, Korea Selatan bertindak melepaskan tembakan amaran menyebabkan tentera Korea Utara segera berundur, kata Ketua Turus Bersama (JCS) di Seoul.

Kejadian serupa dilaporkan berlaku pada 9 Jun lalu.

JCS menganggap bahawa askar-askar itu melintasi sempadan yang terletak di dalam zon bebas tentera (DMZ) secara tidak sengaja ketika menjalankan tugas.

Tiada aktiviti luar biasa turut dikesan, menurut JCS.

Korea Utara baru-baru ini menghantar tenteranya ke pelbagai lokasi di bahagian utara untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan.

Kakitangan Am Korea Selatan mendakwa selain menanam periuk api, Korea Utara turut mengukuhkan jalan-jalan yang digunakan bagi tujuan ketenteraan dan membina struktur yang mungkin berpotensi menjadi halangan kereta kebal.

Ketegangan kembali meningkat di sepanjang zon bebas tentera dan sempadan maritim yang memisahkan kedua-dua negara, yang secara rasmi berperang sejak konflik pada 1950an.

-- BERNAMA