YEYSK: Angka kematian akibat nahas sebuah pesawat pejuang Rusia di kawasan perumahan Yeysk, Rusia meningkat kepada 15 orang.

Pertambahan angka korban itu selepas mangsa dilaporkan terjun dari bangunan pangsapuri sembilan tingkat bagi menyelamatkan diri daripada kebakaran besar yang berlaku, lapor AP.

Selepas beberapa jam kerja mengalihkan puing dan rangka pesawat, pihak berkuasa memaklumkan 14 mayat termasuk tiga kanak-kanak ditemukan.

Seramai 19 mangsa pula dikejarkan ke hospital akibat kecederaan namun seorang mangsa yang melecur teruk meninggal dunia menjadikan angka korban sebanyak 15 orang.

Penduduk berhampiran berkunjung ke lokasi bagi memberi penghormatan dan turut menggerakkan kutipan sumbangan buat mangsa yang terjejas.

Pesawat pejuang SU-34 malang itu dilaporkan terhempas pada Isnin ketika sedang menjalani sesi latihan.

Kedua-dua kru bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri, namun pesawat terhempas ke kawasan perumahan menyebabkan kebakaran besar di kawasan itu.

Sekurang-kurangnya 17 pangsapuri di kawasan perumahan itu terjejas dan kira-kira 100 penduduk dipindahkan ke tempat tinggal sementara.

Yeysk adalah sebuah bandar menempatkan pangkalan udara Rusia dengan populasi 90,000 penduduk.