WASHINGTON: Presiden Joe Biden mengesahkan beliau telah mengarahkan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan kakitangan dari Kedutaan Amerika di Khartoum, Sudan, lapor Sputnik.

Terdahulu, pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) berkata, mereka telah melakukan koordinasi dengan Misi Angkatan Tentera AS yang turut membabitkan enam pesawat bagi memindahkan diplomat AS dan keluarga mereka pada pagi Ahad.

"Hari ini, atas arahan saya, tentera Amerika Syarikat menjalankan operasi untuk mengeluarkan kakitangan kerajaan AS dari Khartoum.

"Saya berterima kasih kepada Djibouti, Ethiopia, dan Arab Saudi, yang turut memainkan peranan penting untuk kejayaan operasi kami," kata Biden dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.

Biden berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan sekutu dan rakan kongsi dalam usaha untuk memindahkan kakitangan kedutaan AS.

Berikutan itu, AS menggantung sementara operasi di kedutaan Amerika di Sudan. - BERNAMA