WASHINGTON: Hampir 300 orang dilaporkan terbunuh akibat pertempuran berterusan antara pasukan tentera dan Rapid Support Forces (RSF) di Sudan setakat ini.

"Keadaan di Sudan semakin membimbangkan dan menyayat hati. Hampir 300 orang telah meninggal dunia setakat ini manakala lebih 3,000 cedera.

"Saya mengecam semua serangan maut, terutamanya serangan ke atas orang awam dan institut kesihatan," lapor Agensi Anadolu memetik ciapan Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus di Twitter pada Rabu.

Beliau berkata akses terhadap bekalan elektrik, makanan, air, kakitangan dan bekalan perubatan semakin berkurangan menjadikan hampir mustahil untuk banyak kemudahan kesihatan berfungsi dengan sempurna apabila terdapat beribu-ribu mangsa yang cedera dan memerlukan rawatan segera.

Ketua WHO itu mengulangi gesaannya agar semua pihak mematuhi seruan melaksanakan 'humanitarian pause', yang menurutnya membolehkan mereka yang terperangkap dalam pertempuran mencari perlindungan.

Orang awam juga akan dapat mengakses makanan, air dan ubat-ubatan dan pesakit boleh mendapatkan penjagaan kesihatan yang diperlukan, kata Ghebreyesus.

"Keamanan adalah satu-satunya penyelesaian," tambahnya.

Pertempuran kini memasuki hari kelima antara tentera Sudan dan RSF di ibu negara Khartoum dan kawasan sekitarnya.

-- BERNAMA