MELIHAT kepada agenda lawatan sulung Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bangkok, Thailand, ia disusun amat teratur lagi rapi, mencakupi pelbagai aspek demi mencapai kemakmuran bersama di rantau sesama anggota tetangga ASEAN.
Lawatannya cuma dua hari, 48 jam jika dikira jam 3 petang waktu Malaysia, Anwar tiba di bumi Bangkok.
Agendanya, beliau jumpa diaspora Malaysia di Bangkok, hadiri mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, Jeneral Prayut Chan o-Cha, menemui penggerak industri dalam mesyuarat bisnes serta rangkaian dan kunjungi Pusat Islam Thailand di Ramkamhaeng.
Matematiknya, sudah beberapa kali Anwar ke Bangkok dan ke wilayah lain di Thailand juga.
Semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan dan lebih awal, apabila berada di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Mengambil kira rentang masa yang agak panjang itu, tidak menghairankan jika lawatannya kali ini, atas tugas rasminya sebagai Perdana Menteri, dinanti-natikan ramai orang di Thailand, pegawai tinggi dan rakyat biasa, yang dikenali Anwar semasa dalam galaksi seputar waktu yang berlalu itu.
Namun, paling menuntut harapan barangkali, tangani isu ekonomi, keselamatan dan jangan dilupakan, soal konflik di selatan Thailand.
Persamaan dalam sifat isu ini semua - apabila ekonomi berkembang, soal keselamatan jatuh nombor dua, jika selamat aman sentiasa, rasa curiga punca sengketa sekian lama boleh padam menumbuhkan pohon keamanan.
Begitulah, rantaian ini akan terus berkembang dan berpusing, kembali kepada roda ekonomi, berakhir dengan aman dan berputar lagi.
Kerana itu, isu yang sangat mendesak ini wajar diselesaikan satu persatu menggunakan resipi timbang rasa, manusiawi dan madani. Bagaimana? Mohon baca sehingga ke ayat terakhir.
Saya sudah empat kali ke selatan Thailand, kesemua tempat dan wilayah, termasuk tiga yang masih bergolak, Narathiwat, Yala dan Pattani, sudah saya lawat sejak secara aktif membuat liputan mengusahakan pada lapis lain damai dan aman di sana.
Apa kesimpulan dibuat dan pengajarannya serta bagaimana ia boleh membantu mencerahkan prospek damai di sana?
Dan, lebih penting, bagaimana dapatan itu - menerusi Laporan Khas Luka Sembuh, Parut Masih Berdarah (2010); Lawatan Susulan Mencari Damai Hakiki (2015); Dokumentari Resah Damai Selatan (2017) dan Misi Jejak Realiti Selatan (2020) boleh menyuntik seterusnya menggerakkan tiga wilayah pulang ke pangkuan bukan permusuhan dengan Bangkok yang menjadi pusat kuasa?
Begini: Akar isu selatan Thai seperti nasi kerabu. Bercampur-campur, ada ulam, ada lauk, ada kuah. Sifatnya akar isu ini bercabang-cabang. Ada yang kata, ia isu agama, sebab itu Imam dan Sami dibunuh.
Tetapi sepanjang konflik berlanjutan, ada juga orang awam tidak berdosa rebah di hujung senjata tidak bermata. Lalu, sebab ekonomi, hidup miskin, dipilih kasih oleh kerajaan di Bangkok mengambil tempat.
Namun, ini juga boleh dipertikai kerana sudah banyak pembangunan ditumpahkan di Narathiwat, Yala dan Pattani. Begitu banyak limpahan ekonomi dicurahkan di tiga wilayah ini sehingga industri halalnya berkembang pesat.
Maka, naratif, budaya, enggan jadi Thailand tetapi kekal Melayu, mahu keluar merdeka dari Thailand dengan elemen pemisah, berkembang mekar.
Jangan dilupakan, Pattani dahulu adalah empayar besar, kini cuma satu wilayah dengan kuasanya amat terbatas, perlu dengar kata dari Bangkok, yang pemimpin nombor satunya bukan beragama Islam.
Bagaimanapun, faktor ini juga boleh disanggah. Mana mungkin Bangkok benarkan tiga wilayah ini merdeka, kerana di sini sumbernya banyak, jika dibangunkan dengan cermat dan manusiawi, ia boleh memberi pulangan yang makmur kepada Thailand itu sendiri.
Malah, kepimpinan yang berpusat di Bangkok juga awal-awal lagi pandai membeli hati dan jiwa penduduk di selatan Thailand ini dengan menurunkan banyak kuasa kepada mereka, melantik orang Islam menjadi Gabenor, dengan terbaharu Patimoh Sadiyamu, diangkat Gabenor Narathiwat, tanda pengiktirafan kepada wanita dan Muslim.
Sudah tentu, pada hemat kepimpinan di Bangkok diketuai tentera, penduduk Islam di tiga wilayah tidak akan memberontak lagi jika keistimewaan itu diberikan.
Dan, kemudiannya, datang pula naratif dadah, permusuhan kumpulan kecil yang tidak puas hati dengan pembahagian limpahan ekonomi (dibaca wang dalam jumlah yang besar atau projek).
Dikatakan, penguasaan dadah serta rasa tidak puas hati dengan projek pembangunan mencetuskan putaran keganasan tanpa henti di wilayah selatan, akar kepada masalah sekian lama hidup sejak tahun 1960-an lagi.
Ini, tidak juga, malah, diperbetulkan faktornya, berikutan bukan ini secara mutlak, cuma ranting kecil kepada masalah yang lebih berat. Maka, berikan pencerahan, apakah sebenarnya? Sabar, baca lagi.
Dalam empat kali lawatan ke selatan Thailand, ramai yang saya jumpa dan temu bual.
Dari orang kampung, anak muda, pelajar sekolah pondok, penganggur dan pemisah, semua saya rakam untuk mempersembahkan keputusan adil kepada semua.
Jadi, begitu panjang lebar liku dan ranjau akar masalah di selatan Thailand, tidak bolehkah ia diselesaikan atau tidak mungkinkah ia tidak boleh ditamatkan?
Nah, saya bersetuju dengan pandangan Don Pathan, penganalisis keselamatan yang saya jumpa di satu persidangan di Bangkok, sebelum COVID-19 melanda pada 2018 dan baru-baru ini.
Apa katanya, kepada soalan saya, masih adakah sinar untuk keamanan dipulangkan secara hakiki di selatan Thailand?
"Sebab itu saya berpandangan, ia bukan tidak boleh diselesaikan, tetapi sukar. Ada yang boleh selesaikan, tetapi ada ciri-cirinya, ia datang bersama ketabahan, ketokohan dan kebijaksanaan," kata beliau.
Saya katakan, pemilihan Malaysia sebagai koordinator kepada dialog damai, yang digerakkan sebelum ini, dan masih berlangsung, walaupun tersangkut untuk sekian lama, adalah perintis kepada jalan aman yang lebih jelas terbentang, seorang lagi pemerhati, warga selatan Thailand, membesar di Malaysia, Dr Asae Waeataee memberi buah fikiran, tidak mustahil ia ke arah itu, tetapi jalannya masih berliku dan tidak singkat.
Berkesempatan menemui dan berkomunikasi lanjut di platform Messenger, beliau panjang lebar menulis bahawa memang, Anwar memahami isu pemberontakan dan pemisah dengan lebih mendalam dan mempunyai hubungan yang baik dengan penduduk di wilayah selatan sejak sekian lama.
Malah, kelebihannya, Perdana Menteri juga akrab dengan ramai tokoh di Thailand, termasuk ahli politik, pegawai kanan tentera dan ahli akademik serta masyarakat sivil.
"Rundingan damai boleh menarik lebih banyak kumpulan pemberontak selain Barisan Revolusi Nasional (BRN), yang menjadi kumpulan pemisah utama di selatan. Kumpulan-kumpulan kecil yang memberontak boleh diajak sama duduk semeja. Melihat kepada gambaran yang lebih luas pula, ada harapan yang tinggi untuk rundingan damai naik ke tingkat satu lagi, walaupun dalam hati-hati, takut kecewa lagi,'' ujar beliau.
“Kini Anwar yang berkuasa dan beliau kelihatan lebih terlibat dalam isu ini dengan melakukan kunjungan singkat ke Bangkok beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan dan kemudiannya lawatan balas ke Putrajaya pada hujung tahun lepas, ketika atmosfera politik Malaysia sudah tidak kacau-bilau ketiadaan kerajaan,” kata Dr Asae semasa saya temui beliau beberapa minggu lalu di HatYai.
Kuncinya ialah rundingan damai dan faham sejarah, kata Lutfee, seorang anak muda yang merintis kumpulan untuk mencapai keamanan di selatan, dikenali sebagai Peaceful of Southern Boundary Organization atau singkatnya PASBO.
"Walaupun Malaysia mungkin mengalami masalah kecil dalam melaksanakan peranannya sebagai fasilitator kerana beberapa faktor, ia tidak menjadi masalah untuk rundingan damai antara kerajaan Thailand dan gerakan pemisah BRN,” katanya sebelum menambah ada beberapa alternatif perdamaian telah dicadangkan.
Antaranya, model Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dengan kerajaan Indonesia yang disarankan sebelum ini oleh ahli politik bekas Menteri Luar Thailand, Surin Pitsuwan (meninggal dunia pada 30 November 2017) , pembentukan Kabinet menteri yang baharu, dengan memasukkan menteri beragama Islam sebagai ahli Kabinet, dilihat sebagai suatu harapan baharu yang memberikan sinar kepada penduduk Muslim di selatan Thailand beserta nasihat dan rundingan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, pada tahun 2005 sebagai alternatif dalam pelan perdamaian konflik di sana.
Pertelingkahan ini awalnya berlaku sejak berabad lalu iaitu sejak 1786 disebabkan oleh wilayah Kesultanan Melayu Fathoni telah dikuasai oleh kerajaan Siam.
Walaupun konflik ini kelihatan terkawal dan tiada insiden besar berlaku, pada hakikatnya ia masih berlangsung sehinggalah semua dikejutkan dengan peristiwa 4 Januari 2004 dan berpanjangan sehingga kini.
Rundingan antara kerajaan dan pemberontak pula bermula pada 2013 untuk membawa keamanan, kemudian terhenti berikutan rampasan kuasa tentera di Thailand setahun kemudian.
Rundingan diteruskan tanpa parti utama termasuk BRN selepas itu, tetapi tidak dilaporkan.
Bagaimanapun, rundingan antara kerajaan Thailand dan BRN disambung semula pada tahun 2019 dengan kemajuan yang konkrit dan ketara telah dicapai yang menimbulkan harapan untuk menamatkan keganasan di wilayah selatan Thailand.
Malaysia turut berperanan sebagai fasilitator bagi proses dialog damai dalam menamatkan konflik.
Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai di Selatan Thailand yang baharu, berkuat kuasa 1 Januari 2023.
Beliau menggantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor yang tamat perkhidmatannya sebagai ketua fasilatator pada 31 Disember 2022.
Di sini, kita dapat menjangkakan, barisan dalam fasilitator memainkan peranan dalam mencerahkan lagi, atau setidak-tidaknya memperbaiki tangga harapan kepada damai di selatan, sebagaimana dilontarkan oleh Don Pathan, boleh dikaitkan dengan ciri ketokohan.
Apa lagi, untuk membawa dan bersetuju dengan kumpulan yang tegar seperti BRN di mana mereka tetapkan syarat rundingan untuk Thailand secara relatifnya perlu bersetuju mereka mahukan kemerdekaan, memerlukan bukan calang-calang individu yang mempunyai seni kebijakannya dalam memujuk.
Dan, tanpa mahu pesimis, Malaysia ada kelebihan itu kalau dilihat daripada barisan perantara terbaharu.
Sudah lebih lima siri dialog damai selatan Thailand berlangsung di Kuala Lumpur dan Bangkok sejak dipersetujui pada 2019.
Sebagai jiran paling akrab, Malaysia lebih daripada gembira untuk memikul peranan dan tanggungjawab sebagai fasilitator rundingan melibatkan tentera Thai dan kumpulan pemisah BRN.
Apa lagi, sebagai negara di seberang perbatasan, Malaysia beranggapan, molek jika selatan Thai damai, ia memberi limpahan rezeki luar biasa kepada Malaysia juga.
Menjadi harapan Malaysia untuk turut sama sembuhkan sakit di Thailand, berakar di selatan negara itu, memandangkan Kuala Lumpur melihat ia sebagai tanggungjawab sesama tetangga serantau, ibarat cubit peha kanan peha kiri terasa juga.
Lebih awal, Malaysia juga gembira perkembangan di Acheh dan selatan Filipina yang damai terlebih dahulu, tanpa pertumpahan darah, walaupun sebelum itu bukan sedikit nyawa melayang kerana keganasan.
Formula ini, Malaysia lihat sebagai sangat manusiawi dan boleh dilaksanakan di selatan Thailand juga.
Pada lapis lain, pengajaran dari formula yang ada itu tidak mustahil boleh dijayakan. Pemberontak di Acheh, Indonesia dan Mindanao di selatan Filipina, pada asalnya memperjuangkan kemerdekaan namun menerima autonomi demi menjaga keamanan.
Sama seperti di selatan Thailand sekarang, jalannya tersangkut di lorong kecil mencari persefahaman, disumbang rasa curiga sesama pihak berunding.
Seni rundingan inilah yang perlu diambilberat dan memenuhi ciri-ciri madani, kerana dalam madani, ada elemen kemanusiaan itu.
Sebagaimana tulisan rakan saya, Dr Sahul HM, pensyarah di Jabatan Sejarah di UPSI ketika mengulas pelancaran buku "Membangun Negara Madani" yang saya petik begini:
"Madani bukan tentang pembinaan bangunan atau tugu untuk menunjukkan kebesaran negara, tetapi berkaitan penekanan terhadap unsur manusiawi seperti akhlak dan kebesaran bangsa dalam pembinaan negara.
"Konsep negara Madani bertitik tolak daripada Sahifah Madinah yang menggambarkan teladan terbaik bagi pembinaan negara yang majmuk dan adil.
"Ia menitikberatkan pembangunan ekonomi manusiawi yang menjauhi sifat kapitaslime keparat.
"Antara matlamat utama adalah untuk menghentikan kerosakan daripada terus berleluasa."
Nah, bukankah itu adalah matlamat lawatan Perdana Menteri ke Thailand?
Bahawa, membuka kerjasama ekonomi dengan menawarkan pembangunan yang boleh dinikmati secara bersama itulah apa yang dimahukan?
Jadi, bagaimana pembangunan itu boleh dinikmati bersama dengan akhlak murni menjadi fasilitator perdamaian?
Tentunya, dalam konteks di selatan Thailand dan pengurusan konflik di sana, keamanan perlu dicapai dahulu dan keamanan perlu diurus dengan bijaksana, kesabaran dan ketokohan, iaitu sifat manusiawi untuk menghentikan kerosakan (dibaca kematian dan keganasan) daripada terus berleluasa.
Kalau masa itu, sekurang-kurangnya boleh ditambah mengerti makna madani dan manusiawi, kita percaya - perlu percaya sebenarnya - masa juga boleh memulangkan keamanan kepada selatan Thai, jika tidak sekarang, bila-bila juga mungkin.
* Dr Azlinariah Abdullah ialah editor dan penerbit di Astro AWANI. Beliau sedang mengerjakan naskhah terbaharu, buku ketiga "Senandika Selatan Thailand, Luka Sembuh Parut Masih Berdarah, yang akan memasuki pasaran tahun ini.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Dr Azlinariah Abdullah
Thu Feb 09 2023
Lawatannya Datuk Seri Anwar Ibrahim dinanti-natikan ramai orang di Thailand, pegawai tinggi dan rakyat biasa, yang dikenali Anwar semasa dalam galaksi seputar waktu yang berlalu itu. - Gambar BERNAMA
Amaran hujan berterusan tahap buruk hingga 23 Nov
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap buruk di Terengganu, Pahang dan Johor berkuat kuasa sehingga 23 November ini.
AWANI Ringkas: Amaran hujan lebat berterusan tahap buruk hingga 23 Nov
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
20 juta mangsa, jambatan runtuh, misi bantuan sukar – Mercy
Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata Lebih 20 juta penduduk di Filipina terkesan akibat enam siri taufan yang berlaku di Filipina dalam tempoh lebih sedikit daripada sebulan, yang telah menyebabkan laluan hubungan darat terputus dan menyukarkan misi bantuan.
Amalan perniagaan tidak adil, India denda Meta USD25.4 juta
India mendenda Meta kira-kira USD25.4 juta kerana amalan perniagaan tidak adil yang melibatkan perkongsian data pengguna merentas platform media sosial dibawah syarikat induk berkenaan.
Kilang kelapa sawit disaran guna teknologi AI - Johari
Kilang-kilang kelapa sawit dalam negara disaran menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memproses buah sawit.
MyCEB, Hospital Regen Rehab anjur Program Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni MADANI)
Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) dengan kerjasama Hospital ReGen Rehab telah berjaya menganjurkan "Program Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni MADANI)" pada Rabu.
Tiada ahli GISB sertai program pemulihan secara sukarela di Pulau Pinang
Tiada ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) di Pulau Pinang dilaporkan tampil secara sukarela untuk menyertai program pemulihan khusus yang disediakan di Kompleks Darul Hidayah di Nibong Tebal.
Perhalusi cadangan hukuman tahanan di rumah - KPN
Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap supaya cadangan kerajaan untuk menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah diteliti dan diperhalusi.
Masters China: Aaron-Wooi Yik buka langkah kanan di Shenzhen
Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula langkah kanan di Masters China 2024 apabila mara ke pusingan kedua.
Malaysia desak negara maju tingkatkan pembiayaan iklim di COP29
Malaysia menempelak negara-negara maju yang sanggup membelanjakan trilion dolar untuk konflik dan peperangan tetapi menafikan pembiayaan tindakan iklim untuk negara membangun.
[KOLUMNIS] Kezaliman Zionis di bumi Palestin dan tindakan kita
Pengusiran orang-orang Arab Palestin dari tanah air mereka adalah perancangan utama Zionis Israel dan telah mengakibatkan orang Arab Palestin kekal menjadi pelarian sehingga hari ini.
[KOLUMNIS] Menginsafi 106 tahun Deklarasi Anglo-Perancis (7 Nov 1918 - 7 Nov 2024)
Sempena 106 tahun Deklarasi Anglo-Perancis, GPM Malaysia menyeru seluruh umat Islam agar mengambil ibrah daripada sejarah yang berlaku.
[KOLUMNIS] Abad Turkiye, hubungan lebih erat dengan Malaysia
Turkiye dan Malaysia, berkongsi hubungan dua hala yang berakar umbi, dengan sejarah persaudaraan sejak hubungan antara Empayar Uthmaniyyah dan Kepulauan Melayu pada abad ke-16.
[KOLUMNIS] Mengemudi bisnes di era digital: Adaptasi atau ketinggalan?
Walaupun teknologi digital menawarkan banyak peluang, tidak dinafikan ia juga datang dengan cabaran.
[KOLUMNIS] Kenaikan gaji minimum RM1,700: Peluang atau cabaran untuk syarikat?
Walaupun kenaikan gaji minimum sering dianggap sebagai beban oleh majikan, ia sebenarnya boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti.
[KOLUMNIS] Mentransformasi seni digital serlah kreativiti universiti
Kombinasi ilmu dan seni dalam kehidupan adalah seimbang - ilmu memberikan ketertiban dan kejelasan, manakala seni membawa kedamaian dan kegembiraan.
[KOLUMNIS] Sektor pertahanan perlu teroka, sedut kepakaran teknologi swasta
Kecanggihan teknologi menyebabkan segala sistem dan prasarana negara dapat dilumpuhkan dengan serangan siber yang terancang.
[KOLUMNIS] Perang poster PRK Mahkota hambar, boleh ‘gigit’ pengundi
Kluang sunyi sepi daripada segi perang poster pilihan raya, kemeriahan pesta pilihan raya hilang dari radar.
[KOLUMNIS] PRK Mahkota: Pertarungan strategi komunikasi dan taktik politik
PRK DUN Mahkota menjadi pentas penting untuk menilai sejauh mana keberkesanan strategi komunikasi dan taktik politik yang diterapkan oleh BN dan PN.
[KOLUMNIS] Komunikasi politik tersingkap: PRK Nenggiri mengenai ketulenan atau persembahan?
Fenomena manipulasi ketulenan ini tidak hanya terbatas kepada pentas politik Indonesia; ia juga dapat dilihat dalam dinamika politik semasa di negara kita.