MEKAH: Di celah-celah kisah haji dan falsafah pengorbanan serta penyucian jiwa, ada jasa yang cukup besar dilakukan manusia kepada manusia lain tetapi jarang diangkat setinggi darjatnya.

Kisah doktor petugas Lembaga Tabung Haji musim 1445H/2024M ini adalah untuk menyegarkan semula ingatan tentang apa yang mereka akan lakukan sekali lagi tahun ini, ketika 31,600 jemaah haji Malaysia menunaikan rukun Islam kelima.

Namun, pertimbangkan nombor-nombor ini terlebih dahulu. Jumlah petugas perubatan, 278 orang. Manakala jumlah jemaah haji, 31,600 orang. Kaitannya, kerana haji itu wukuf, wukuf itu haji, kesemua 31,600 ini perlu wukuf di Arafah, ia rukun haji, jika tidak lakukannya, bukan haji namanya.

Tetapi, jika uzur bagaimana? Bukan semua jemaah yang datang muda, sihat dan kebanjiran tenaga. Tentu ada yang lemah lututnya, sakit belakang dan badan selain kaku gerak kakinya.

"Inilah pengorbanan yang perlu dilakukan oleh doktor yang bertugas dalam musim haji. Bilangan 278 inilah yang akan 'bertempur' pastikan kesejahteraan 31,600 jemaah semasa wukuf di Arafah dan bermabit di Muzdalifah," kata Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Abdul Marsudi Manah.

Menurutnya, semasa operasi Masyair (wukuf dan hari-hari tashrik) pasukan perubatan memasuki fasa paling kritikal, berperang dengan masa dan berlawan dengan ramainya jemaah yang akan jatuh sakit, lebih-lebih lagi dalam cuaca panas sehingga mencecah 50 darjah celcius. 

Namun sejak di tanah air lagi, mereka diingatkan tentang perjalanan operasi dalam perubatan semasa Masyair akan bertukar kepada mod dipanggil 'business unusual'.



Ingatan itu kata Dr Abdul Marsudi disegarkan semula dalam kalangan pasukan perubatan di sini, di Tanah Suci.

"Memang apabila terima tanggungjawab ini, amanah akan dipikul sebaik mungkin merangkumi lima fasa bermula dengan pertama iaitu pembukaan di mana di sini adalah untuk mendapatkan permit pengoperasian, keduanya, penyampaian sebelum wukuf, paling kritikal fasa ketiga iaitu Masyair, diikuti pasca Masyair dan penutupan. Kesemua fasa ini beroperasi secara "business unusual","ujar beliau.

Bukan calang-calang doktor yang datang mengikuti operasi haji bagi musim ini, 1445H/2024M.

Ini kerana mereka terdiri daripada pakar berpengalaman, pegawai perubatan selain doktor muda juga tidak kurang pamer minat membantu jemaah mengumpul pahala pada usia muda di Tanah Suci.

Bidang kepakaran juga pelbagai - kesihatan awam, bius, jantung, dietetik, kaunseling, gigi, semuanya berganding bahu, bertugas tanpa batas waktu untuk pastikan kesejahteraan jemaah dipelihara sebaik mungkin.

"Dan, saya bagi contoh, sebab wukuf itu haji, maka seboleh mungkin, walaupun dalam jumlah terbatas, tekad kumpulan doktor yang sedikit jumlahnya ini akan memastikan tahap kesihatan setiap jemaah dalam keadaan optimum untuk berwukuf.

"Yang tidak berdaya pula, kita akan bantu berada di Arafah melalui program kita panggil 'Safari Wukuf' di mana kita akan bawa jemaah yang uzur ini untuk berwukuf di Arafah walaupun seketika. Ini adalah jaminan Tabung Haji juga, setiap jemaah akan diusahakan untuk berwukuf.

"Di sini akan dapat dilihat bagaimana jemaah yang dibawa berwukuf akan menangis kesyukuran kerana boleh menyempurnakan haji mereka dengan bantuan doktor melalui 'Safari' Wukuf," kata Dr Abdul Marsudi yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Namun, Dr Abdul Marsudi berkata, bukan itu sahaja pengorbanan mereka.



Fasa berada di Muzdalifah lebih kritikal di mana pertempuran para doktor ini lebih hebat, merawat pesakit diibarat seperti di medan pertempuran.

"Di Muzdalifah ini, memang ada khemah, tetapi tiada katil. Bayangkan jika kita mahu ambil darah, cucuk jarum, kita masih mempertimbangkan mereka berada dalam ihram, perlu pakai sarung tangan, berhati-hati tidak boleh tercabut bulu, jika tidak perlu bayar dam pula.

"Tiada katil bermakna, jika jemaah sakit, kita perlu suntik atau ambil darah bukan di atas katil sebagaimana biasa dilakukan, sebaliknya baring di atas pasir berdebu, dan ambil darah, rawat di situ juga," katanya lagi.

Dan, kata Dr Ahmad Marsudi, jumlah 278 pasukan doktor itu tidak akan ditambah dalam fasa kritikal ala medan tempur itu, sebaliknya mereka 're-distribute' jumlah yang ada untuk pastikan jemaah panjat kesyukuran kerana dapat menunaikan rukun dan wajib haji.

Walaupun pengorbanan mereka itu hanya diingati setahun sekali, pasukan perubatan ini tidak kisah, kerana pada akhirnya mereka akan menganggap kerja itu juga sebahagian ibadah, menyantuni dhuyufurrahman itu dijanjikan ganjaran pahala berlipat kali ganda, lubuk itu lebih dikejar mereka.

Hari Wukuf tahun ini jatuh pada 9 Zulhijjah atau 15 Jun 2024, iaitu kemuncak musim panas di Arab Saudi.

Ini diikuti hari-hari tashrik sehingga 13 Zulhijjah meliputi bermalam di Mina, bermabit di Muzdalifah dan melontar di Jamrah.