LONDON: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah kewangan Islam berpotensi merapatkan jurang pembiayaan yang penting untuk peralihan kepada masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Sultan Nazrin yang juga Penaung Diraja bagi Inisiatif Kewangan Islam Malaysia bertitah kewangan Islam yang berlandaskan amalan yang beretika, kesaksamaan dan perkongsian risiko yang adil menyediakan kerangka kerja sejajar dengan kemampanan serta menawarkan pilihan pendanaan pelbagai termasuk kewangan gabungan dan sosial.

"Ia (kewangan Islam) berada pada kedudukan yang baik untuk menangani jurang pembiayaan yang menghalang kemajuan global dan boleh berfungsi sebagai alat untuk menyalurkan sumber di tempat yang paling diperlukan," titah baginda pada Forum Perniagaan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC)-United Kingdom (UK) 2024.

Baginda yang memetik laporan Matlamat Pembangunan Kemampanan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertitah PBB menganggarkan aliran masuk tahunan yang diperlukan untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030 adalah hampir US$4 trilion di negara yang sedang membangun.

Selain itu, perbelanjaan purata tahunan bagi aset fizikal yang diperlukan untuk mencapai pelepasan sifar bersih pada 2050 pula mencecah US$9.2 trilion, titah baginda.

Ditubuhkan pada 2015, SDG menggariskan 17 matlamat global yang bertujuan untuk mewujudkan masa depan yang lebih baik, lebih mampan dan saksama.

Objektif utama termasuk menegakkan hak asasi manusia, mencapai kesaksamaan jantina, memperkasakan wanita dan gadis, membasmi kemiskinan, dan menamatkan kebuluran di seluruh dunia.

Menurut Sultan Nazrin, pelaburan kritikal diperlukan untuk memacu peralihan kepada masa depan mampan yang sebahagian besarnya masih belum dipenuhi walaupun terdapat perkembangan ketara dari segi komitmen pemimpin negara dan usaha memajukan instrumen untuk memantau kemajuan SDG.

"Pelaburan seumpama ini semakin diperlukan tambah lagi dengan kesan daripada pandemik COVID-19, konflik yang berterusan dan krisis iklim yang semakin meningkat, yang kesemuanya memburukkan lagi ketidaksamaan sedia ada dan meningkatkan lagi cabaran yang kita hadapi," titah baginda.

Baginda bertitah memandangkan sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) hanyalah merupakan mekanisme bagi menyediakan pembiayaan beretika dan mampan, kewangan Islam berpotensi untuk membantu mengisi jurang pembiayaan global yang mengimbangi penciptaan nilai jangka panjang dengan keperluan jangka pendek selain mengekalkan komitmen terhadap keadilan sosial dan keterangkuman.

"Ini adalah intipati bagi pembangunan mampan.  Beta percaya menjadi tanggungjawab pemain dalam industri untuk menumpukan usaha mereka ke arah memajukan agenda kemampanan global," titah baginda.

Baginda bertitah Malaysia merupakan peneraju serantau dalam kewangan Islam yang telah menerbitkan SRI melebihi US$6 bilion dengan potensi untuk meningkat lebih tinggi lagi.

Dalam masa yang sama baginda juga berbesar hati apabila mendapati United Kingdom (UK) merupakan salah satu daripada sebilangan kecil negara di luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah menerbitkan sukuk berdaulat sebanyak dua kali.

Sultan Nazrin juga menjelaskan kepentingan untuk mempertingkat inovasi dan teknologi bagi mencapai agenda mampan, sambil bertitah bahawa inovasi adalah tunjang kemajuan dan boleh meningkatkan kualiti pertumbuhan bagi tempoh jangka panjang.

Baginda bertitah kewangan Islam berpotensi menjadi peneraju dalam bidang inovasi dan teknologi, dengan industri teknologi kewangan Islam mencecah nilai US$79 bilion pada 2021 dan diunjurkan berkembang pada kadar yang luar biasa kepada US$179 bilion menjelang 2026.

Sementara itu, baginda juga mengingatkan cabaran untuk mengoptimumkan bakat serta sumber yang ada dalam melaksanakan inovasi sambil memetik dapatan Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang menunjukkan perbezaan ketara dalam kadar pendigitalan membawa kepada jurang ekonomi yang berterusan serta terlepas peluang mencapai kemajuan teknologi.

"Namun, dalam cabaran ini terdapat peluang yang luar biasa bagi ekonomi membangun. Mereka boleh menawarkan perkhidmatan dan kepakaran penting dalam pelbagai sektor - daripada kejuruteraan dan reka bentuk hinggalah kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan.

"Kerjasama sedemikian membolehkan pertukaran pengetahuan yang berharga dan kemahiran yang boleh membantu merapatkan jurang inovasi dengan cara memupuk pertumbuhan dan kemajuan bersama," titah baginda.

Selain itu baginda juga menekankan kepentingan menjalin kerjasama antarabangsa bagi usaha kolektif dan terselaras dalam meneruskan agenda kemampanan.

Bertepatan dengan forum hari ini, Sultan Nazrin menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia dan Britain boleh menjadi model untuk kerjasama yang produktif dan berkesan.

"Kepentingan hubungan ini akan menjadi lebih ketara, terutamanya apabila mempertimbangkan trajektori ekonomi dan alam sekitar kedua-dua negara kita. United Kingdom menampilkan contoh menarik dalam mengimbangi pertumbuhan ekonominya dengan tanggungjawab alam sekitar.

“Perkongsian antara Malaysia dan Britain juga telah terbukti membuahkan hasil dalam bidang memacu pertumbuhan, inovasi, infrastruktur mampan dan kewangan hijau secara serentak,” titah baginda yang memberi contoh program PACT Malaysia-UK, yang dimuktamadkan pada 2023.

PACT Malaysia-UK menyokong dan terus menggalakkan peralihan rendah karbon Malaysia, dengan nilai projek berjumlah £2.6 juta dan bidang tumpuan dalam perancangan karbon rendah, alam semula jadi, tenaga dan kewangan hijau.

"Jadi marilah kita terus membangunkan usaha penting yang telah kita laksanakan, asas kukuh yang telah kita bina.  Marilah kita terus memanfaatkan kerjasama kita ini untuk memajukan kewangan hijau dan kemampanan, di negara kita sendiri dan di luar darinya," titah baginda.

-- BERNAMA