Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di Swansea, United Kingdom ini, Claire Shepherd yang bekerja sebagai pembantu pengurus di syarikatnya sekarang berkata, dia cuba 'merisik' peluang di sebuah syarikat lain.
Ekoran itu dia telah menghadiri satu temuduga yang diadakan secara dalam talian dan dimaklumkan berita gembira telah berjaya mendapatkan pekerjaan itu.
Namun begitu dia sedar terdapat satu klausa untuk mendapatkan jawatan itu, iaitu pekerja di syarikat tersebut tidak boleh mempunyai sebarang lukisan tatu di tubuh.
"Maksudnya saya hanya sempat 'berasa' pekerjaan baharu ini hanya untuk setengah jam," katanya dalam laporan Mirror di sini pada Sabtu.
Berang dengan tindakan syarikat itu, Claire berkongsi perkara itu dalam Facebook sebelum ia menjadi tular.
"Beberapa hari kemudian, syarikat tersebut menghubungi dan menawarkan kerja itu. Namun saya tolak.
"Ini adalah satu bentuk diskriminasi kepada mereka yang mempunyai tatu," ujarnya.
Katanya, dia berdepan dengan stereotaip dan salah tanggapan dalam kalangan orang ramai.
Malah wanita berusia 32 tahun itu turut mengakui dirinya pernah dibenci oleh keluarganya sendiri ekoran lukisan tatu itu.
Dia mendapat tatu pertama seawal usia 18 tahun sewaktu bercuti di Magaluf.
Sehingga kini, dia telah membelanjakan hampir 3,000 pounds (RM16,786) untuk memenuhi minatnya itu.
Tatunya kini merangkumi seluruh tubuh badan termasuk leher dan bulu kening.