BANGKOK: Kerajaan Thailand mempercepat bantuannya kepada penduduk yang terjejas banjir berikutan musim tengkujuh.

Semasa mesyuarat Kabinet, Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai mengarahkan agensi berkaitan untuk mempercepat tinjauan mereka bagi menilai kerosakan banjir, menurut Timbalan Ketua Setiausaha Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Politik, Suksit Srichomkwan.

"Agensi yang terlibat diarahkan untuk mempercepat tinjauan mereka, memeriksa kerosakan dan melaksanakan langkah-langkah untuk membantu penduduk yang terjejas banjir.

"Mereka juga perlu menyediakan pelan pemulihan untuk memudahkan orang ramai pulang ke rumah mereka," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini Selasa.

Media tempatan Thailand melaporkan pada Selasa, wilayah Chiang Rai, Phitsanulok dan Sukhothai di utara dan wilayah Nong Khai di timur laut masih dalam proses pemulihan akibat banjir. Selain itu, Bandar Pattaya di wilayah Chonburi, yang terletak di timur Thailand, telah dilanda hujan lebat, menyebabkan banjir.

Sejak 16 Ogos, 22 orang terbunuh dan 19 yang lain cedera dalam banjir kilat dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan monsun di Thailand. Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana negara itu melaporkan bahawa lebih 30,900 isi rumah di 13 wilayah terjejas.

-- BERNAMA