WASHINGTON: Calon bebas pilihan raya Presiden Amerika Syarikat Robert F. Kennedy Jr dijadual menyampaikan ucapan pada Jumaat di tengah spekulasi yang semakin memuncak bahawa beliau mungkin menarik diri daripada pilihan raya itu.

"Calon Bebas Robert F. Kennedy Jr akan berucap secara langsung kepada negara pada Jumaat mengenai detik bersejarah ini dan hala tuju beliau seterusnya," menurut hantarannya di laman sesawang pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kennedy Jr dijangka berucap di Phoenix, Arizona dan calon Republikan Donald Trump juga akan membuat penampilan pada Jumaat.

Calon naib presiden Kennedy, Nicole Shanahan, baru-baru ini mencadangkan kemungkinan penggabungan dengan kempen Trump.

Penyiar Amerika Syarikat ABC News melaporkan bahawa Kennedy merancang menarik diri daripada kempen pilihan raya itu.

Beliau cenderung menyokong Trump, namun belum membuat keputusan muktamad, menurut sumber.

Shanahan dalam satu temu bual menjelaskan bahawa terdapat dua pilihan untuk pasukan Kennedy: sama ada terus bertanding dan mengambil risiko calon Demokrat Kamala Harris memenangi pilihan raya presiden pada 5 November, atau menyokong Trump.

Tinjauan pendapat menunjukkan Kennedy Jr hanya memperoleh sokongan sekitar lima peratus.

Kennedy Jr berpotensi memecah undi mana-mana parti utama. Pada masa ini, pencalonannya lebih cenderung merugikan Trump, namun sekiranya Kennedy menarik diri daripada pilihan raya itu, ia mungkin menjadi berita baik untuk Republikan.

-- BERNAMA