GAZA CITY: Kempen vaksinasi polio yang sedang dijalankan mencapai 82.5 peratus kanak-kanak disasarkan di Semenanjung Gaza yang dilanda perang, kata Kementerian Kesihatan pada Rabu.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata 527,776 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun menerima dos pertama vaksin polio di kawasan Palestin, lapor Agensi Anadolu.

Kementerian itu berkata pasukan perubatan meneruskan usaha mereka "untuk meneruskan kempen vaksinasi polio walaupun pencerobohan Israel berterusan."

"Walaupun menghadapi bahaya besar yang dihadapi pasukan perubatan, keluarga terus datang ke pusat vaksinasi untuk membolehkan anak mereka mendapat vaksin polio," menurut kementerian itu.

Fasa ketiga dan terakhir kempen itu bermula di utara Gaza pada Selasa untuk memberi vaksin polio kepada kira-kira 14,000 kanak-kanak. Fasa pertama dan kedua kempen meliputi Gaza tengah dan selatan.

Bulan lepas, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa gencatan senjata kemanusiaan selama tujuh hari bagi membolehkan 640,000 kanak-kanak di Gaza divaksinasi.

Israel terus melancarkan serangan kejam di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menuntut gencatan senjata segera.

Lebih 41,000 orang, kebanyakan wanita dan kanak-kanak terbunuh dan hampir 95,000 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Sekatan berterusan ke atas wilayah itu menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, selain menyaksikan sebahagian besar wilayah itu musnah.

Israel menghadapi tuduhan genosid atas tindakannya di Gaza di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

-- BERNAMA