TOKYO: Kedudukan Jepun sebagai pemegang kedua saham terbesar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang dipegangnya selama lebih tiga dekad mungkin tergugat, apabila pemberi pinjaman itu menyelesaikan pembaharuan kuota menjelang akhir tahun 2023, lapor Sputnik memetik Agensi Berita Kyodo pada Selasa.

Jepun berkemungkinan akan dipintas oleh China dan Jerman, jatuh ke tempat keempat dalam hierarki pemegang saham.

Walaupun kerajaan Jepun telah menyokong inisiatif untuk meningkatkan sumber kewangan IMF, ia masih berkeras untuk mengekalkan pengagihan kuota sedia ada.

Pada awal Jun, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata pembaharuan kuota IMF diperlukan dan perwakilan negara membangun di IMF dan Bank Dunia harus diperluaskan untuk menangani ketidaksamaan dan berat sebelah dari sudut kewangan antarabangsa.

Guterres mencadangkan pembaharuan kepada kuota IMF harus dipisahkan daripada akses kepada sumber, peraturan pengundian dan pembuat keputusan IMF.

Pada bulan yang sama, Ketua Komunikasi IMF, Julie Kozack, berkata agensi pinjaman kewangan itu sedang dalam semakan kuota kali ke-16 dan merancang untuk menyelesaikannya pada Disember 2023.

-- BERNAMA