Kebocoran gas klorin: 60 dikejarkan ke pusat perubatan di Iran
Enam puluh individu di wilayah Isfahan, tengah Iran dikejarkan ke pusat perubatan selepas disyaki terhidu gas klorin pada Ahad, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).
Bernama
Mon Nov 18 2024
Silinder gas mengalami kebocoran menyebabkan 60 orang di kawasan berhampiran mengalami gangguan pada sistem pernafasan dan segera dikejarkan ke pusat perubatan. - Gambar hiasan/ Reuters
TEHRAN: Enam puluh individu di wilayah Isfahan, tengah Iran dikejarkan ke pusat perubatan selepas disyaki terhidu gas klorin pada Ahad, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).
Kejadian kira-kira 1.40 tengah hari waktu tempatan (1010 GMT) berlaku apabila trak membawa silinder gas klorin terbalik di jalan antara bandar di daerah Shahreza, 80 kilometer ke selatan ibu kota wilayah, Isfahan.
Ketua pengarah jabatan pengurusan krisis wilayah Mansour Shishehforoush dipetik sebagai berkata susulan kemalangan itu, pasukan penyelamat segera dikerah ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, satu daripada silinder itu mengalami kebocoran menyebabkan 60 orang di kawasan berhampiran mengalami gangguan pada sistem pernafasan dan segera dikejarkan ke pusat perubatan.