VIENTIANE: Keanggotaan penuh Timor-Leste dalam blok ASEAN menjadi antara fokus perbincangan pertemuan dua hala antara Malaysia dan pemimpin negara itu pada Rabu.

Pertemuan di ibu negara Laos yang berlangsung selama 15 minit itu menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao.

Keanggotaan Timor Leste dalam blok tersebut diyakini mampu memperluaskan dan mengembangkan sektor ekonomi serantau.

Timor Leste ketika ini masih menunggu keputusan konsensus negara-negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh blok serantau itu.

Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN adalah satu proses yang bermula selepas kemerdekaan negara itu pada 2002.

Timor-Leste diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.

Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju agar Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.

Pemimpin ASEAN berkata, Timor-Leste juga diberi status pemerhati bagi mengambil bahagian dalam semua Mesyuarat ASEAN termasuk sesi pleno.

Pada sebelah petang, Anwar turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.

Pertemuan selama 30 minit itu bagi membincangkan isu berkaitan kerjasama dua hala antara Kuala Lumpur dan Singapura.