MANILA: Pihak berkuasa Filipina kini bertungkus-lumus membendung tumpahan minyak daripada sebuah kapal tangki yang tenggelam di luar pantai di wilayah Oriental Manila.

Kapal tangki yang membawa kira-kira 800,000 liter minyak perindustrian itu tenggelam pada Rabu akibat masalah enjin.

Pengawal Pantai Filipina (PCG) mengetuai kerja-kerja pembersihan dan tumpahan minyak kini sudah meluas sehingga 35 batu nautika dari lokasi kejadian, lapor Xinhua.

Jurucakap PCG Laksamana Madya Armando Balilo berkata jika punca kebocoran dikenal pasti, PCG akan memasang "spill boom" dan bahan penyerap bagi mengelak bahan pencemar daripada merebak dan sampai ke pantai.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli (DENR) Filipina menyuarakan kebimbangan dengan insiden berkenaan yang boleh menjejaskan 21 kawasan perlindungan marin.

-- BERNAMA