TRENTON: Kanada memberi amaran kepada pelancong pada Isnin supaya "berwaspada" jika pergi ke India kerana hubungan kedua-dua negara semakin merosot susulan kes pembunuhan seorang pemimpin Sikh-Kanada.

"Dalam konteks perkembangan terkini di Kanada dan di India, terdapat seruan untuk melakukan protes dan beberapa sentimen negatif terhadap Kanada di media sosial," Agensi Anadolu memetik kemas kini nasihat perjalanan kerajaan Kanada. "Sila terus berwaspada dan berhati-hati."

Ketegangan meningkat antara kedua-dua negara selepas Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau mendakwa secara terbuka minggu lalu bahawa India terlibat dalam pembunuhan seorang pemimpin Sikh-Kanada di luar kuil Sikh di Surrey, British Columbia pada Jun.

India menegaskan bahawa Hardeep Singh Nijjar adalah seorang pengganas yang menjadi sebahagian daripada gerakan militan yang menuntut sebuah negara Sikh merdeka di Khalistan di wilayah Punjab India.

Trudeau berkata terdapat "dakwaan yang boleh dipercayai" bahawa New Delhi terlibat dalam pembunuhan yang dilakukan oleh dua lelaki bertopeng. Tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Trudeau turut meminta India bekerjasama dalam penyiasatan kes itu, dan Kanada mengusir seorang diplomat terkemuka India.

Kerajaan India bertindak balas dengan keras, menyifatkan dakwaan itu "tidak masuk akal," dan dalam langkah tit-for-tat telah mengusir seorang wakil Kanada.

Di samping itu, New Delhi menghentikan perkhidmatan visa untuk warga Kanada buat sementara waktu. Kerajaannya turut mengeluarkan nasihat perjalanan, memberitahu warga India bahawa "memandangkan aktiviti anti-India yang semakin meningkat dan jenayah kebencian dan keganasan di Kanada, semua warganya di sana dan mereka yang merancang perjalanan digesa untuk berhati-hati."

Di Kanada, aktivis Sikh menggesa orang Sikh-Kanada untuk melakukan demonstrasi di luar kedutaan India bagi membantah pembunuhan itu, lapor CTV News.

-- BERNAMA