WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) dan calon presiden Parti Demokrat Kamala Harris berjanji untuk melancarkan manifesto beliau minggu depan yang akan memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi dan penurunan harga barang, lapor Sputnik.

"Minggu depan. Dan ia akan memberi tumpuan kepada ekonomi, apa yang perlu kita lakukan untuk mengurangkan kos dan mengukuhkan ekonomi secara keseluruhan," kata Harris kepada pemberita apabila ditanya mengenai pelancaran manifestonya.

Parti Republikan menyalahkan pentadbiran Demokrat kerana kenaikan inflasi dan harga barang dengan menyatakan dasar ekonomi mereka gagal.

Menurut ahli sosiologi, isu pengurangan perbelanjaan kekal menjadi keutamaan bagi pengundi.

Penyandang presiden AS Joe Biden sebelum ini memutuskan untuk tidak bertanding semula bagi penggal kedua dan menyokong naib presidennya, Harris sebagai penggantinya.

Pilihan raya presiden AS akan berlangsung pada 5 November.

Bekas presiden Donald Trump secara rasmi telah dicalonkan oleh Parti Republikan sebagai calon Presiden.

Trump akan bergandingan dengan Senator Ohio J.D. Vance manakala Harris bergandingan dengan Gabenor Minnesota, Tim Walz.

-- BERNAMA