TOKYO: Gelombang haba yang melampau di Jepun masih berterusan tanpa tanda-tanda reda, dengan suhu di Kyushu hampir mencecah 40 darjah Celsius pada Ahad, lapor Xinhua memetik ramalan cuaca.

Kawasan di barat dan timur Jepun dijangka mengalami suhu melebihi 35 darjah Celsius sepanjang hari, menyebabkan amaran strok haba dikeluarkan di 37 wilayah.

Dengan cuaca panas yang berterusan hingga malam, suhu pada waktu siang Ahad diramalkan mencapai tahap berbahaya.

Di Kurume, Fukuoka, suhu dijangka mencapai maksimum 39 darjah Celsius manakala di Saga dan Kumamoto, suhu dijangka mencapai 38 darjah Celsius.

Tokyo dijangka mengalami suhu sekitar 35 darjah Celsius.

Sehingga 11 pagi waktu tempatan pada Ahad, indeks tekanan haba atau Wet Bulb Globe Temperature (WBGT), mencapai tahap merah di kebanyakan bahagian negara.

Ia mewakili tahap risiko strok haba tertinggi dalam sistem lima peringkat yang digunakan di Jepun, menurut data rasmi.

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk untuk kekal di dalam rumah dan dalam persekitaran yang sejuk serta merancang aktiviti musim panas.

-- BERNAMA