TOKYO: Jepun memperingati ulang tahun ke-78 serangan bom atom Amerika Syarikat di bandar Hiroshima pada Ahad dengan ribuan orang menghadiri majlis tahunan itu, lapor agensi berita (dpa) Jerman.

Para peserta, termasuk mangsa yang terselamat dan keturunan mereka, bertafakur selama seminit pada 8.15 pagi (2315 GMT Sabtu) di Taman Memorial Keamanan ketika pesawat pengebom B-29 AS menggugurkan bom atom di bandar itu 78 tahun lalu.

Dalam Deklarasi Keamanan yang disampaikan pada majlis itu, Datuk Bandar Hiroshima Kazumi Matsui menggesa para pemimpin dunia untuk meninggalkan teori pencegahan nuklear.

"Adalah semakin penting bagi kami untuk menggesa penggubal dasar untuk meninggalkan pencegahan nuklear demi mewujudkan dunia yang aman," katanya.

Serangan nuklear yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada tahun 1945 membunuh puluhan ribu penduduk dalam tempoh beberapa saat, dan menjelang akhir tahun itu, kira-kira 140,000 mati akibat pengeboman.

Amerika Syarikat menjatuhkan bom atom kedua tiga hari kemudian di Nagasaki di pulau Kyushu. Pada 15 Ogos 1945, Jepun menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu, menamatkan perang.

--BERNAMA-dpa



TAG: Jepun, AS, bom atom, ulang tahun ke-78