KUALA LUMPUR: Skop kerjasama Jepun-Malaysia kini diperluaskan bagi melangkaui hubungan dua hala, ke arah memupuk keamanan dan kemakmuran di rantau ini dan juga di seluruh dunia, kata bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe.
Abe berkata dalam mengalu-alukan peluasan hubungan dua hala itu, Jepun berazam untuk terus bekerjasama dengan Malaysia bagi mengekalkan dan mengukuhkan ketenteraman antarabangsa yang bebas dan terbuka.
"Jepun dan Malaysia, sebagai rakan strategik yang berkongsi kepentingan strategik dan nilai asas seperti demokrasi dan kedaulatan undang-undang, terus meluaskan skop kerjasama mereka melangkaui bidang ekonomi dan sosial," katanya dalam temu bual bertulis menjelang ketibaannya di sini malam tadi untuk lawatan rasmi tiga hari sebagai wakil khas Perdana Menteri Fumio Kishida.
Abe berkata amat bermakna bagi kedua-dua negara untuk terus menggalakkan kerjasama dalam kesejahteraan dan keselamatan maritim, serta pembinaan kapasiti bagi merealisasikan 'Free and Open Indo-Pacific (FOIP)' dan 'ASEAN Outlook on the Indo -Pacific (AOIP)' untuk menjamin keamanan dan kemakmuran di rantau ini dan masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata wilayah Indo-Pasifik yang turut menempatkan Jepun dan Malaysia, menghadapi cabaran serius terhadap ketenteraman antarabangsanya yang bebas dan terbuka berdasarkan kedaulatan undang-undang, daripada percubaan untuk mengubah 'status quo' secara unilateral menerusi kekerasan dan paksaan ekonomi.
"Jepun dan Malaysia adalah negara demokrasi, negara perdagangan dan negara maritim. Ketenteraman antarabangsa yang sedia ada; dan bukannya tindakan menerusi kekerasan, menjadi pemangkin yang membolehkan kedua-dua negara membangun. Saya yakin bahawa dengan mengekalkan dan mengukuhkan langkah-langkah ini, ia akan membawa keamanan dan kemakmuran kepada rantau ini," katanya.
Abe, yang menjadi perdana menteri dua kali, dalam tempoh sembilan tahun, dan ketua kerajaan paling lama dalam sejarah Jepun, menegaskan bahawa Jepun mempromosikan FOIP dan akan bekerjasama secara aktif dengan rakan kongsinya termasuk Malaysia, yang disifatkannya sebagai 'rakan sehaluan', untuk merealisasikan AOIP yang berkongsi banyak prinsip asas.
Beliau memberi contoh peningkatan kedaulatan undang-undang di laut, yang menyaksikan Jepun menyokong pembinaan kapasiti pegawai pengawal pantai Malaysia sejak penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada 2005.
"Pegawai pengawal pantai mendapat manfaat daripada bantuan ini dan kini berkhidmat sebagai tenaga pengajar untuk memberi latihan kepada negara ketiga. Saya yakin Jepun akan terus bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang ini.
"Jepun memberi perhatian khusus kepada Laut Sulu-Celebes, sebagai laluan laut utama untuk merealisasikan FOIP. Jepun, dengan penyelarasan dengan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), bersedia untuk memperkukuh kerjasama di Laut Sulu-Celebes dan kawasan sekitarnya, yang terdedah dari segi ekonomi dan sosial, (dan) sering berhadapan ancaman lanun lanun, serangan pengganas dan bencana alam," katanya.
Lawatan Abe ke Malaysia juga adalah sempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara Jepun dan Malaysia, dan ulang tahun ke-40 'Dasar Pandang Ke Timur' yang menyaksikan Malaysia mencontohi etika kerja dan sistem pengurusan Jepun untuk meningkatkan prestasi ekonomi dan produktivitinya.
"Ini merupakan lawatan pertama saya dalam tempoh tujuh tahun ke Malaysia, sebagai wakil khas Perdana Menteri. Saya melawat Malaysia sebanyak tiga kali semasa saya menjadi Perdana Menteri Jepun, dan dalam setiap lawatan itu saya berasa takjub dan kagum dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang luar biasa," katanya.
Jepun dan Malaysia menikmati jalinan perkongsian ekonomi dan strategik yang rapat, dirangsang oleh kira-kira 1,500 syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia.
Abe berkata selain menyediakan bantuan untuk respons COVID-19 oleh kerajaan Malaysia, Jepun juga menyokong projek bandar pintar di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuching, yang bertujuan meningkatkan kecekapan dan kecanggihan fungsi serta perkhidmatan serantau.
Di samping itu Jepun menyokong pembangunan infrastruktur komunikasi Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan pendigitalan masyarakat dan peralihan tenaganya ke arah mewujudkan masyarakat tanpa karbon.
Abe yang menyifatkan Dasar Pandang Ke Timur yang dimulakan oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai asas bagi hubungan dua hala yang mesra berkata, di bawah dasar ini lebih 26,000 anak muda Malaysia telah belajar dan menerima latihan di Jepun, meraih bukan sahaja pengetahuan serta kemahiran tinggi, tetapi juga nilai-nilai Jepun seperti etika kerja, semangat untuk belajar serta bekerja, dan juga dari segi moral.
"Saya berbangga kerana pihak yang mempunyai hubungan sebegitu dengan Jepun memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang di Malaysia, berfungsi sebagai jambatan yang tidak akan goyah, dalam menghubungkan kedua-dua negara kita," katanya.
Jepun juga telah memperluaskan pelbagai kerjasama untuk meningkatkan persekitaran pembelajaran di Malaysia, menyokong pembinaan kemudahan pendidikan baharu dan menghantar lebih 800 fakulti serta tenaga pengajar bahasa Jepun.
Kerajaan Jepun turut menyokong pembukaan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia, kampus asing pertama universiti Jepun, bagi membolehkan rakyat Malaysia menerima pendidikan gaya Jepun di dalam negara itu sendiri.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta generasi muda dan seluruh rakyat Malaysia memacu hubungan Jepun-Malaysia yang mempunyai potensi besar," kata Abe.
-- BERNAMA
Bernama
Fri Mar 11 2022

Lawatan Abe ke Malaysia adalah sempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara Jepun dan Malaysia, dan ulang tahun ke-40 'Dasar Pandang Ke Timur'. - Gambar fail

Tiga Olimpian ketuai cabaran ATC Putrajaya
ATC Putrajaya akan menyaksikan ketiga-tiga atlet berkenaan bersaing bersama 119 triatlet elit dari 20 negara.

Bahrain tekankan perpaduan dan kewujudan bersama dalam hal ehwal Islam
Bahrain juga komited memastikan perpaduan dan kewujudan bersama secara aman kekal sebagai asas kepada kemajuan negara.

Dunia perlu sokongan pelan pembangunan semula Gaza tanpa pemindahan penduduk - Presiden Mesir
Badr Abdelatty berkata, Mesir sedang merangka satu konsep menyeluruh dan berperingkat bagi pembangunan semula Gaza.

Google bayar US$340 juta kepada Itali selesaikan kes cukai tertunggak
Google dan pihak berkuasa kewangan Itali capai persetujuan serta menyelesaikan audit cukai bagi tempoh 2015 hingga 2020 tanpa prosiding undang-undang.

Rusia sedia sambung perbincangan berkenaan Ukraine - Putin
Dalam masa sama, kata Putin, membina semula kepercayaan dengan Amerika Syarikat adalah penting bagi mencapai kemajuan bermakna.

WHO lapor penyakit baharu belum dikenal pasti di DR Congo
Dua kluster kes dan kematian berkaitan penyakit tidak dikenal pasti itu telah dikesan di dua zon kesihatan di Wilayah Equateur, DR Congo.

ACLE: Ini sebab Shandong Taishan tarik diri walau layak ke pusingan 16
Keputusan dibuat disebabkan ketidakselesaan fizikal yang serius membabitkan pemain-pemain dan selepas penilaian dibuat oleh pasukan perubatan.

Shandong Taishan tarik diri saingan ACL Elite, laluan JDT masih samar
Shandong Taishan FC memutuskan untuk tidak menyertai perlawanan Peringkat Liga Zon Timur menentang Ulsan HD FC dari Korea Selatan semalam.

Melaka perhebat program gotong-royong hapus Aedes
Usaha itu selaras dengan komitmen berterusan Jabatan Kesihatan Negeri dalam memusnahkan tempat pembiakan yang boleh merisikokan penduduk.

WHO lancar kempen vaksinasi polio besar-besaran di Gaza Sabtu ini
Kempen vaksinasi polio besar-besaran dirancang bermula di #Gaza Sabtu ini (22 Februari), dengan sasaran lebih 591,000 kanak-kanak berumur bawah 10 tahun.

PM Ismail Sabri bertemu PM Jepun, cadangkan supaya hubungan Malaysia-Jepun dinaik taraf
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertemu dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Tokyo pada Jumaat, mencadangkan supaya hubungan Malaysia-Jepun dinaik taraf.

Jepun, Malaysia luaskan kerjasama melangkaui hubungan dua hala - Shinzo Abe
Skop kerjasama Jepun-Malaysia kini diperluaskan bagi melangkaui hubungan dua hala, ke arah memupuk keamanan dan kemakmuran di rantau ini dan juga di seluruh dunia.