TOKYO: Parlimen Jepun menggubal satu undang-undang pada Rabu untuk memperkenalkan sistem yang membolehkan majikan menyemak sama ada pemohon pekerjaan adalah pesalah seks yang didaftarkan dalam tempoh 20 tahun lepas, sebagai usaha untuk menyekat mereka yang disabitkan dengan jenayah seks daripada menyertai pekerjaan melibatkan kanak-kanak, lapor agensi berita Kyodo.

Di bawah sistem yang dikenali sebagai "DBS Jepun" yang merujuk kepada "Disclosure and Barring Service" Kerajaan British, sekolah, pusat jagaan harian dan tadika akan dikehendaki merujuk pemohon pekerjaan untuk semakan rekod kesalahan seks oleh Agensi Kanak-Kanak dan Keluarga.

Pusat tuisyen dan kelab selepas sekolah boleh secara sukarela menyertai program ini, yang dijangka dilaksanakan sekitar tahun fiskal 2026 dan akan menerima sijil rasmi yang boleh digunakan dalam bahan pemasaran. Guru tuisyen bebas dan individu bekerja sendiri dikecualikan daripada sistem ini.

Kumpulan sokongan ibu bapa dan kanak-kanak telah melobi untuk sistem ini bagi melindungi keselamatan kanak-kanak berikutan beberapa kes penderaan seksual di pusat jagaan harian dan pusat tuisyen dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Jika agensi berkenaan mengesahkan bahawa pemohon pekerjaan telah dikenakan hukuman penjara bagi kesalahan seksual dalam tempoh 20 tahun lepas atau denda dalam tempoh 10 tahun lepas, individu itu akan diberitahu dan diberi pilihan untuk menolak tawaran kerja itu.

Jika mereka memilih untuk tidak menolak tawaran itu, agensi itu akan memaklumkan majikan berkenaan mengenai hasil semakan latar belakang mereka.

Semakan ini akan merangkumi sabitan kesalahan jenayah seperti hubungan seks tanpa kerelaan, serta pelanggaran undang-undang tempatan termasuk melakukan sentuhan dan voyeurisme.

Di bawah undang-undang baharu ini, majikan juga akan dikehendaki mengambil tindakan jika didapati bahawa pekerja sedia ada, walaupun tidak mempunyai rekod jenayah seksual, melakukan kesalahan seksual berdasarkan aduan oleh ibu bapa atau kanak-kanak.

Namun, bagi mengimbangi kebebasan individu untuk memilih pekerjaan mereka, kerajaan merancang untuk menyusun garis panduan yang menetapkan kriteria untuk digunakan majian semasa melaksanakan langkah berjaga-jaga atau menangani dakwaan terhadap pekerja.

Langkah berjaga-jaga itu termasuk mengeluarkan pekerja daripada peranan yang membawa mereka berhubung secara langsung dengan kanak-kanak dan memastikan kanak-kanak tidak ditinggalkan bersendirian dengan mereka. Jika majikan tidak dapat mengambil langkah berkenaan, mereka juga boleh memecat pekerja yang terlibat.

Dewan Kaunselor meluluskan rang undang-undang ini pada Rabu selepas ia diluluskan oleh Dewan Perwakilan pada akhir Mei.

-- BERNAMA