TOKYO: Kerajaan Jepun memutuskan untuk menamatkan subsidi untuk ubat-ubatan COVID-19 dan kemasukan ke hospital bulan depan, menurut media tempatan, lapor Xinhua.

Langkah itu menyebabkan pesakit perlu membayar sendiri rawatan COVID-19 pada kadar yang bergantung kepada pendapatan mereka, lapor Jiji Press pada Selasa, memetik pegawai kerajaan.

Kerajaan menampung sepenuhnya perbelanjaan untuk ubat-ubatan COVID-19 dengan dana awam sejak tahun 2021.

Subsidi itu kemudiannya dikurangkan pada Oktober lepas dengan pesakit perlu membayar antara 3,000 yen (kira-kira US$20) dan 9,000 yen bergantung kepada umur dan pendapatan mereka.

Di bawah pelan baharu itu, rawatan oral molnupiravir, untuk mencegah gejala serius COVID-19 akan dikenakan bayaran 90,000 yen bagi setiap preskripsi atau kira-kira 28,000 yen bagi mereka yang dilindungi oleh insurans awam.

Subsidi untuk kos hospitalisasi, yang kini ditetapkan pada 10,000 yen sebulan juga akan berakhir bulan depan.

Kerajaan juga akan membatalkan pembayaran kepada hospital besar yang menyediakan katil untuk pesakit COVID-19 dengan caj dikenakan dari 29,000 yen hingga 174,000 yen bergantung kepada keadaan jangkitan.

-- BERNAMA