SONGKHLA: Jenazah Sheikhul Islam Thailand Aziz Phitakkumpon selamat dikebumikan di perkarangan Masjid Jamek Songkhla (Songkhla Central Mosque) di Hatyai, Songkhla pada Isnin.

Lebih 10,000 jemaah membanjiri Masjid Jamek Songkhla di Hatyai seawal pukul 7 pagi (waktu tempatan) untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jenazah Allahyarham yang tiba di Masjid Jamek Songkhla pada 8 pagi (waktu tempatan) dimandikan, dikafankan dan disolatkan.

Anak sulung Allahyarham, Senator Zaki Phitakkumpon mengimamkan solat jenazah berkenaan.

Jenazah dikebumikan di kawasan khas di perkarangan Masjid Jamek Songkhla pada kira-kira pukul 10.30 pagi (waktu tempatan).

Menteri Dalam Negeri Anutin Charnvirakul dan Menteri Keadilan Tawee Sodsong antara yang hadir solat jenazah pagi tadi. Presiden Privy Council Jen Surayud Chulanont mewakili Raja Vajiralongkorn turut hadir.

Sementara itu, solat jenazah ghaib untuk Allahyarham di Masjid Pusat Negara (National Central Mosque) di Nong Chok, Bangkok hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Parnpree Bahiddha-Nukara bersama komuniti Islam Thai menghadiri solat jenazah ghaib itu untuk memperingati sumbangan dan pencapaian besar Allahyarham.

Allahyarham Aziz, 76, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Memorial King Chulalongkorn pada 10.32 pagi (waktu tempatan) Ahad.

--BERNAMA