SELEPAS 14 hari dilaporkan hilang di Sungai Aare, anak kepada Gabenor Jawa Barat, Emmeril Kahn Mumtadz ditemukan oleh pihak polis Switzerland pada Khamis.

Menurut polis, pihaknya menemui jasad Emmeril atau lebih dikenali dengan panggilan Eril pada jam 6.05 pagi Rabu (waktu tempatan) di kawasan empangan Engehalde.

Penemuan itu ternyata membawa kelegaan kepada Ridwan Kamil yang bersyukur kerana Allah memberikan kesempatan buatnya untuk memeluk, membelai, memandikan jenazah anaknya.

Bahkan, dia bersyukur kerana dapat mengazankan dengan sempurna azan di telinga anaknya itu - persis seperti ketika Eril lahir.

BACA: Anak Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil gagal ditemui selepas hanyut di sungai Switzerland

BACA: "Ril, mama pulang dulu ya..." - Nukilan pilu ibu Eril yang lemas di Switzerland

Menerusi laman Instagramnya, Ridwan meluahkan segala yang terbuku di hati sejak kehilangan anaknya pada 26 Mei lepas.


“Masya Allah…

“Walau sudah lewat (melepasi) 14 hari, jasadnya masih utuh lengkap tidak kurang satu apapun, wajah rapih menengok ke kanan dan saya bersaksi, jasad Eril wangi seperti wangi daun eucalyptus.

“Sungguh mukjizat kecil yang sangat kami syukuri. Maha Besar Allah, atas izinMu, selama 14 hari sungai Aare benar-benar melindungi dan mensucikan jasadnya dari marabahaya.

“Hai Eril, saatnya kamu pulang ke tanah air, untuk menghaturkan terima kasih kepada jutaan yang mendoakanmu,” tulis beliau di laman Instagramnya pada Jumaat.

Lemas di Switzerland | Mayat anak Gabenor Indonesia ditemukan selepas 14 hari

Ridwan juga sempat memuat naik ‘story’ di laman sosial itu, berkongsikan gambarnya di hadapan hospital di Bern, Switzerland.

“Alhamdulillah, di Rumah Sakit Bern, sesaat setelah memandikan jenazah Eril.

“Penjelasan ilmiah kenapa jasadnya utuh:

“Sungai Aare yang sedingin kulkas (peti ais) dan minim fauna (kurang haiwan), membuat jasadnya terjaga setengah membeku sehingga tetap utuh lengkap walau berada di dasar sungai selama 14 hari,” tulis beliau.

BACA: Gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil reda, terima pemergian anak yang lemas di Switzerland

Sementara itu, dalam status dimuat naik sebelum itu, Ridwan memaklumkan jenazah anaknya itu dijangka tiba di Indonesia hujung minggu ini dan dikebumikan pada Isnin. 

Eril dipercayai dihanyutkan arus ketika berenang di Sungai Aare pada 26 Mei lepas.

Jurucakap polis, Joel Regli dipetik agensi AP sebagai berkata, Eril dipercayai hilang sewaktu sedang berenang bersama adiknya Camillia Laetitia Azzahra, dan teman mereka, di sungai berkenaan, yang terletak beberapa ratus meter ke hulu dari pusat bandar.

Anak sulung Ridwan itu berada di Switzerland bersama keluarganya untuk mencari institusi pendidikan bagi melanjutkan pendidikannya sehingga ke tahap sarjana.