Beberapa kawasan di kota Jakarta hari ini dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak malam tadi, hingga menjejaskan aktiviti harian warga kota yang berpenduduk lebih 10 juta orang.

Kawasan Istana Presiden Indonesia di Jakarta Pusat, turut digenangi air beberapa sentimeter, namun dilaporkan telah surut 7.00 pagi ini.

Setakat 10 pagi ini, menurut laman twitter Polis Jakarta @TMCPoldaMetro, beberapa jalan raya di Jakarta, termasuk beberapa laluan memasuki lebuh raya ke Bekasi dan Tengerang, tidak dapat dilalui kenderaan berikutan dinaiki air sehingga satu meter.

Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api juga dilaporkan terjejas berikutan laluan perkhidmatan itu ditenggelami air.

Perusahaan Listrik Negara (PLN) turut memutuskan bekalan elektrik di lebih 800 kawasan penempatan penduduk, sebagai langkah mengelakkan berlakunya renjatan elektrik.

Sejak awal Januari 2020, Jakarta dilanda beberapa kali kejadian banjir dan banjir kilat selepas berlaku hujan lebat, dan yang terburuk berlaku pada 1 Jan lepas, yang mengorbankan lebih 60 mangsa, akibat lemas, terkena renjatan elektrik, dihanyutkan arus deras serta mengalami hiportemia.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia meramalkan hujan lebat berterusan sehingga Mac ini.

-- BERNAMA